HomeUtamaRindu anak-anak, beri keinsafan bekas penagih di Puspen Papar

Rindu anak-anak, beri keinsafan bekas penagih di Puspen Papar

Read Time:5 Minute, 2 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

PAPAR: Rasa rindu yang amat mendalam terhadap anak-anak, memberi keinsafan buat seorang bekas penagih dadah yang sedang menerima rawatan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Papar.

Arie (bukan nama sebenar) berusia 41 tahun menjadi penghuni Puspen Papar sejak tahun 2023 kini berfikiran lebih positif dan berhasrat untuk berubah menjadi lebih baik dan diterima oleh masyarakat luar.

Apa yang diinginkan sebaik sahaja keluar dari pusat itu nanti, selain keluarga, Arie mahu bertemu, memeluk anak-anaknya yang sekian lama ditinggalkan dan dirindui selama ini.

“Ini adalah tahun kedua saya menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan bersama penghuni lain di pusat ini malah kita juga akan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi. Ini membangkitkan rasa rindu saya terhadap anak-anak saya sangat mendalam sekali gus memberi keinsafan kepada saya. Saya ingin bertemu dan memeluk mereka apabila bertemu nanti,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat pemulihan itu baru-baru ini.

Mengimbas kembali bagaimana awalnya Arie terjebak dengan najis dadah jenis syabu itu, dia berkata, semuanya berpunca dari kes penceraian isteri pertamanya.

Arie, kecewa akibat dihalau oleh isteri kerana tiada pekerjaan punca seorang bekas anggota keselamatan terjebak dengan najis dadah kononnya dapat menghilangkan tekanan hidup yang ditanggungnya.

“Apabila saya bercerai dengan isteri pertama bukan cerai secara normal pergi Mahkamah Syariah tetapi saya bercerai dihalau dari rumah pada tahun 2014 kerana saya telah menamatkan perkhidmatan sebagai anggota keselamatan di Labuan tiada pekerjaan.

“Apabila saya cuba mencari pekerjaan baru di Sarawak pada ketika itu saya fikir ia adalah satu langkah yang bijak tapi saya tersilap langkah sebab itu keluarga isteri menolak sebenarnya pekerjaan itu tidak ada jadi saya pun ‘over stress’ ditambah lagi tekanan berjauhan dengan dua anak saya pada ketika itu berusia satu tahun dan lima tahun.

“Kejadian ini berlaku sekitar 2015 – 2016 begitu, jadi saya dihalau dari rumah sejak itu saya pernah terfikir untuk menamatkan riwayat saya saja, sampai tahap ke arah itu.

“Kerana tidak mendapat pekerjaan, saya merempat tidur di perhentian bas selama berada di Sarawak sehinggalah seorang individu datang kepada saya menawarkan untuk tinggal di rumahnya dan dialah yang memperkenalkan syabu kepada saya,” katanya.

Menurut Arie, setelah keluarganya menyedari akan keadaannya, keluarganya telah membawanya pulang semula ke Labuan, dia mendapat pekerjaan baharu dan berkahwin kali keduanya dan dikurniakan seorang anak.

Malangnya keadaan itu tidak lama, isterinya lari dari rumah kerana mendapati Arie telah mula kembali mengambil syabu kerana tekanan tempat kerja barunya.

Arie telah dihantar ke Puspen Papar oleh Agens Anti Dadah Kebangsaan (AADK) setelah didapati positif dadah semasa inisiatif minggu pemeriksaan kesihatan pekerja dijalankan dengan kerjasama AADK bersama sebuah syarikat di mana tempat dia bekerja di Labuan.

“Saya menjalani pemulihan di sini selama dua tahun, jadi ini tahun kedua saya menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan.

Penghuni Puspen Papar menjalani aktiviti kerohanian sepanjang bulan Ramadan ini.

“Selama menjalani program pemulihan di pusat ini, ia banyak mengajar saya erti kehidupan sebenar, ditambah aktiviti kerohanian yang dijalankan sepanjang bulan Ramadan meningkatkan lagi keyakinan diri saya untuk terus berubah menjadi insan yang berguna kepada masyarakat,” katanya.

Beliau turut menasihatkan kepada masyarakat di luar sana supaya tidak berjinak-jinak dengan najis dadah kerana pengakhirannya akan lebih memburukkan keadaan dan dadah bukanlah cara menyelesaikan masalah yang dihadapi.

“Harapan saya bila keluar dari pusat pemulihan ini, pertama sekali saya ingin bertemu dengan anak-anak saya serta keluarga dan berharap masyarakat di luar sana boleh menerima kami kerana kami juga ada keyakinan diri ke arah berubah menjadi lebih baik sekiranya komuniti sekeliling juga memberi sokongan kepada kami,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Puspen Papar, Rosmawati Apin berkata, mengenai persiapan Ramadan pada tahun ini agak istimewa dan meriah, program berbuka puasa bersama keluarga telah diadakan di pusat itu.

Rosmawati

“Apa yang istimewa sempena bulan Ramadan tahun ini kita telah mengadakan program yang melibatkan ahli keluarga iaitu berbuka puasa selain itu turut melibatkan ahli lembaga pelawat bersama.

“Kita juga menjemput penceramah yang hebat dari luar sebagai tanda supaya mereka sentiasa rasa dihargai dan masyarakat masih peka serta menyokong terhadap kepulihan mereka.

“Setakat ini kita ada 316 orang klien di pusat ini dan InshaAllah pada tahun ini kita buat sekali dengan ‘client session’ bersama semua keluarga bagi meraikan Aidilfitri sebagai satu sokongan kepulihan dari ahli keluarga supaya mereka rasa lebih dihargai di dalam Puspen ini,” katanya ketika ditemui media baru-baru ini.

Menurut Rosmawati, statistik sejak lima tahun ini menunjukkan tidak ramai kes berulang setelah keluar dari pusat pemulihan itu.

“Kalau saya lihat statistik dalam lima tahun ini kes yang berulang tidak ramai, saya boleh katakan dalam seorang dua saja kes berulang.

“Alhamdulillah ramai lagi klien kita diluar khususnya yang telah mendapat rawatan di Puspen Papar dapat mengekalkan kepulihan mereka,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau turut memaklumkan kaedah pemulihan yang digunapakai di Puspen salah satunya model i-Pulih dilihat menyumbang kepada keberkesanan kepulihan klien.

“Seperti yang kita war-warkan satu program penambahbaikan yang dinamakan model i-Pulih merupakan salah satu platform inisiatif yang menyediakan program rawatan dan pemulihan merangkumi aspek biologi, psikologi, spiritual dan sosial.

“Program ini akan memberi rawatan dan pemulihan jadi saya percaya ini juga menyumbang kepada kesediaan klien untuk meninggalkan tabiat ketagihan dadah.

“Jadi kalau di Puspen, apa yang kita tekankan melalui program tersebut kita menyusun semula tingkahlaku mereka supaya berfungsi seperti orang biasa dan lebih produktif,” jelasnya.

Selain mendapat sokongan ahli keluarga, Rosmawati berkata, masyarakat juga diminta memainkan peranan membantu pihak Puspen dalam program pemulihan klien.

“Saya percaya masyarakat pun sudah mula melihat penagihan dadah ini sebagai satu penyakit kalau dulu kita bandingkan sebelum ini penagihan dadah ini dilihat sebagai kes jenayah tetapi saya percaya masyarakat semakin terbuka dalam melihat isu penagihan dadah di mana masyarakat mula memahami penagihan dadah itu sebagai satu penyakit yang boleh dirawat.

“Mereka (klien) akan lebih baik dan produktif sekiranya kita memberi galakan, sokongan dan tidak melakukan stigma terhadap mereka dan sentiasa memberi peluang kepada mereka untuk meningkatkan kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Setakat ini seramai 280 orang klien di bawah perundangan perintah mahkamah manakala seramai 34 orang klien sukarela di bawah Seksyen 8 Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983 yang sedang menjalani rawatan dan pemulihan di Puspen Papar.

RELATED ARTICLES
Utama

Malaysia rakam takziah, simpati pada Iran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular