HomeEkonomiWarkah Terbuka Untuk Menteri Ekonomi Malaysia

Warkah Terbuka Untuk Menteri Ekonomi Malaysia

Read Time:8 Minute, 19 Second

Oleh Wan Azrain Adnan

1.        Sekalung tahniah kerana Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) telah berjaya mendaftarkan lebih 10 juta orang, yang merangkumi hampir 50% daripada jumlah sasaran rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas (21.96 juta).  

2.        Kejayaan ini dapat di capai walaupun PADU telah berdepan dengan pelbagai kritikan serta tomahan yang berterusan. Ambil peduli kritikan serta cadangan yang di suarakan dan kukuhkan keyakinan rakyat terhadap sistem PADU. 

3.        Kini, setelah selesai tempoh pendaftaran, harapan tinggi menggunung rakyat ialah agar sistem PADU akan dapat membantu Kerajaan Malaysia menggubal dan melaksanakan dasar serta rancangan ekonomi yang menambah-baik kesejahteraan hidup rakyat.   

4.        Rata-rata, majoriti rakyat Malaysia sedang menempuhi kehidupan yang mencabar dengan kos sara hidup yang terus meningkat, ketika pendapatan rakyat tidak pula meningkat seiringan. Situasi ini di jangka akan berlanjutan, memandangkan kedudukan ekonomi negara dan geo-politik global masih tidak menentu.

5.        Menurut Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) bagi Suku Ketiga 2023 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), daripada jumlah pekerja sektor formal seramai 6.68 juta orang, 34.6% (2.31 juta orang) memperolehi upah di bawah RM 2,000 sebulan.

Ini meletakkan upah bulanan pekerja terbabit di bawah paras Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) iaitu RM 2,589 sebulan.

6.        Lebih-lebih lagi rakyat Sabah. Menurut laporan DOSM tersebut, penengah/ median upah bulanan pekerja di Sabah ialah RM 1,800, iaitu ketiga terendah di Malaysia selepas Kelantan (RM 1,600) dan Perlis (RM 1,627). Ini lebih rendah dari kadar penengah/ median upan bulanan negara iaitu RM 2,600.

Sebagai perbandingan, penengah/ median upah bulanan pekerja tertinggi adalah: Kuala Lumpur (RM 3,800), Selangor (RM 2,900), Pulau Pinang (RM 2,645).

7.        Di samping itu, data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) turut menunjukkan Sabah mencatatkan kadar kemiskinan mutlak dan kemiskinan tegar tertinggi di Malaysia. Ini jelas membuktikan ramai penduduk Sabah yang masih hidup di dalam penjara kemiskinan, sejak turun temurun, tanpa penyelesaian.

8.        Antara punca utama penjara kemiskinan di Sabah berpanjangan dari generasi ke generasi, ialah kegagalan Kerajaan Malaysia untuk menunaikan pembayaran penuh Geran Khas Tahunan kepada Sabah selama lebih 50 tahun, sejak 1973. Amatlah malang Sabah seolah-olah perlu merayu dan mengemis belas ehsan untuk mendapatkan geran yang sememangnya hakmilik rakyat Sabah, yang di lindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.

9.        Di bawah Perlembagaan Persekutuan, Sabah berhak menerima Geran Khas Tahunan dari Kerajaan Malaysia, pada kadar dua perlima (40%) daripada hasil yang di perolehi oleh Kerajaan Malaysia dari Sabah.

10.      Sebagai contoh. Pada tahun 2022, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)/ Gross Domestic Product (GDP) Sabah adalah RM 81.9 billion. KDNK ini di hasilkan oleh sektor ekonomi Sabah yang tertumpu kepada minyak dan gas, kelapa sawit dan pelancongan.

11.      Oleh itu, dengan kiraan mudah, Geran Khas Tahunan berkenaan di anggarkan berjumlah berbillion ringgit setahun. Namun begitu, Sabah telah menerima sebahagian kecil sahaja daripada jumlah geran yang berhak di terima: RM 26.7 juta (sebelum 2020), RM 53.4 juta (2020), RM 125.6 juta (2022), RM 260 juta (2023).  

12.      Sabah amat memerlukan Geran Khas Tahunan berkenaan untuk merancakkan pembangunan sosio-ekonomi yang dapat memberi kesejahteraan serta kebahagian kepada rakyat Sabah. Seterusnya, ianya dapat menangani isu penjara kemiskinan rakyat Sabah. Sudah terlalu lama rakyat Sabah sengsara, kecewa serta cemburu melihat orang lain menikmati hasil milik rakyat Sabah.

13.      Berdepan dengan pelbagai cabaran sosio-ekonomi, pada Mac 2021, Kerajaan Sabah telah melancarkan Pelan Pembangunan Negeri Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021 – 2025. Ianya mengariskan perancangan untuk merancakkan pertumbuhan sektor ekonomi utama Sabah, serta pembangunan modal insan.

                                        Sumber: Laman sesawang Sabah Maju Jaya: https://smj.sabah.gov.my/

14.      Dalam tempoh yang singkat, agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) telah mula menampakkan kejayaan awal yang memberangsangkan. Ini termasuklah:

  • pelaburan: jumlah pelaburan besar yang menyediakan ribuan peluang pekerjaan
  • rizab kewangan: berjumlah hampir RM 7 billion, antara tertinggi di Malaysia
  • belanjawan: belanjawan tahunan lebihan/ surplus budget yang terbesar sejak Merdeka
  • perdagangan: nilai perdagangan luar negeri tertinggi dalam sejarah Sabah

15.      Kejayaan awal ini meletakkan Sabah di atas landasan serta trajektori menuju wilayah maju. Baru-baru ini, Ketua Menteri Sabah di laporkan berkata bahawa agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) mampu menjadikan Sabah antara negeri terbaik di Malaysia dalam tempoh lima tahun. Oleh itu, Sabah berpotensi menjadi sumber enjin pertumbuhan/ growth engine yang utama untuk negara, serta pembangunan industri baru.

16.      Sebagai contoh. Pada Jun 2023, Kerajaan Sabah telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kajian Kebolehlaksanaan Cadangan Pembangunan Industri Angkasa di Sabah, untuk meneliti pembangunan fasiliti pelancaran angkasa/ space launching facility di Sabah. Menurut Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Sabah mempunyai ciri yang sesuai untuk menyediakan perkhidmatan pelancar roket ke angkasa.

17.      Pembangunan industri aeroangkasa ini dapat melonjakkan pertumbuhan ekonomi Sabah, dan meletakkan Malaysia sebagai negara ke-9 yang memiliki fasiliti pelancaran angkasa. Rakyat Sabah dan Malaysia juga boleh memperolehi ilmu pengetahuan dan kepakaran, serta kerjaya lumayan di dalam industri aeroangkasa berteknologi tinggi.   

18.      Tambahan lagi, Sabah di jangka akan menikmati limpahan dari pembangunan ibu negara Indonesia yang baru di Nusantara, Kalimantan. Menurut laporan akhbar, pembangunan bandar Nusantara yang menelan kos sebanyak RM 128 billion, di anggarkan akan menempatkan seramai 1.9 juta orang menjelang tahun 2045.

19.      Namun begitu kejayaan awal agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) akan terbantut sekiranya isu-isu legasi yang menghantui dan merantai Sabah tidak di selesaikan segera secara menyeluruh. Antaranya: bekalan air dan elektrik yang tidak mencukupi dan sering terganggu, mutu dan rangkaian jalan-raya yang tidak meluas, infrastruktur sekolah yang usang dan tidak lengkap.

20.      Pada masa yang sama, isu legasi utama ialah jumlah warga asing yang besar di Sabah. Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2022 menunjukkan jumlah penduduk Sabah ialah 3.39 juta orang, di mana: warganegara (2.654 juta orang: 78%) dan bukan warganegara (0.736 juta orang: 22%).

Peratusan bukan warganegara ini adalah lebih dua kali ganda dari peratusan nasional (9.5%).  

21.      Malah, ada beberapa daerah di Sabah yang merekodkan peratusan bukan warganegara yang amat tinggi: Lahad Datu (33%), Tongod (35%), Beluran (47%).

Lebih mengejutkan, di Kinabatangan, majoriti (78%) penduduk adalah bukan warganegara.

22.      Isu kebanjiran warga asing, yang rata-rata tidak memiliki dokumen sah/ undocumented, sudah wujud sejak sekian lama. Pada Oktober 2022, Menteri Dalam Negeri Malaysia di laporkan berkata terdapat lebih satu juta penduduk tanpa dokumen/ undocumented di Sabah.

23.      Warga asing ini, terutamanya penduduk tanpa dokumen, menimbulkan pelbagai kesan negatif kepada Sabah. Tanpa dokumen sah, mereka tidak dapat bekerja dan mempunyai pendapatan tetap, seterusnya menyumbang kepada kadar kemiskinan yang tinggi di Sabah. Pada masa yang sama, mereka turut menjadi bebanan kepada kemudahan awam dan kewangan Sabah.

24.      Sebagai contoh. Universiti Malaysia Sabah (UMS) sering-kala mengalami gangguan bekalan air. Pengerusi Lembaga Pengarah UMS di laporkan berkata antara sebab utama masalah bekalan air di UMS ialah kewujudan koloni setinggan yang besar (anggaran 12,000 rumah) di Sepanggar. Adalah di anggarkan koloni setinggan berkenaan melibatkan kecurian air kira-kira 18 juta liter sehari. Kecurian ini juga menyebabkan kerajaan Sabah mengalami kerugian kutipan hasil air.

25.      Di samping itu, pada awal April 2024, semasa Persidangan Dewan Negara, Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia telah menyatakan jumlah tunggakan bil perubatan oleh warga asing di fasiliti kesihatan kerajaan ialah RM 40 juta, sehingga tahun 2023. Beliau turut menyatakan bahawa Sabah telah mencatatkan jumlah tunggakan bil rawatan warga asing tertinggi di Malaysia.

26.      Penyelesaian isu-isu legasi berkenaan sudah pasti akan memerlukan dana yang amat besar, dan akan mengambil masa yang lama. Ianya juga memerlukan political will untuk memperbetulkan kesilapan terdahulu. Tidak adil bagi rakyat Sabah untuk terus menunggu bagi menikmati kualiti hidup yang lebih baik serta masa depan yang lebih cerah.

27.      Sebagaimana yang telah di war-warkan, sistem PADU di jangka akan membolehkan Kerajaan Malaysia mengoptimumkan perbelanjaan dan mengurangkan pembaziran serta ketirisan. Malah, program bantuan Kerajaan Malaysia dapat di salurkan kepada rakyat secara lebih bersasar dan tersusun.

28.      Justeru itu, sebarang penjimatan perbelanjaan yang di hasilkan oleh sistem PADU wajar di salurkan oleh Kerajaan Malaysia kepada Sabah sebagai keutamaan tertinggi/ top priority. Dana penjimatan berkenaan boleh di guna-pakai untuk empat perkara utama:

  • Geran Khas Tahunan: pembayaran penuh Geran Khas Tahunan kepada Sabah, demi mematuhi Perlembagaan Persekutuan
  • Infrastruktur awam: membina serta menambah-baik infrastruktur awam di seluruh Sabah seperti air, elektrik, jalan-raya dan sekolah, selari dengan pelaksanaan agenda Sabah Maju Jaya (SMJ)
  • Kemiskinan: menambah serta memperluas program pemerkasaan sosial/ social empowerment menerusi aktiviti latihan kemahiran up-skilling dan re-skilling, serta keusahawanan. Dengan itu, lebih ramai rakyat Sabah boleh terlibat di dalam agenda pembangunan dan memperolehi pendapatan yang lebih tinggi
  • Warga asing: mengandakan usaha untuk menangani kebanjiran penduduk bukan warganegara di Sabah, terutamanya penduduk tanpa dokumen, serta meningkatkan keselamatan sempadan Sabah

29.      Hakikatnya, selama berdekad-dekad, Sabah terpinggir dan ketinggalan dari arus pembangunan negara. Sepanjang tempoh tersebut, Sabah telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara, serta senantiasa menghormati kerjasama dan perpaduan nasional. Justeru itu, sumbangan dan kesetiaan Sabah wajar di hargai dan di balas setimpalnya.

30.      Not a penny more, not a penny less.

RELATED ARTICLES
Utama

Hajiji terima kunjungan hormat Penasihat Komuniti Puisi Esei Asean Denny JA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya