HomeUtamaDUN Sabah : Kerajaan negeri tekad tangani isu bekalan air

DUN Sabah : Kerajaan negeri tekad tangani isu bekalan air

Read Time:2 Minute, 19 Second

Kota Kinabalu : Kerajaan Sabah bertekad untuk terus menangani isu bekalan air di negeri ini selain akan turut memperkasa perkhidmatan pembentungan di Sabah.

Yang di-Pertuan Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin berkata, sebanyak 18 projek akan dilaksanakan pada tahun ini sebagai tindakan penyelesaian serta-merta isu bekalan air di kawasan Utara dan Tengah Kota Kinabalu serta Putatan.

“Kerajaan juga berusaha untuk menurunkan Kadar Kehilangan Air Tidak Berhasil (NRW) dengan menyelesaikan masalah penyambungan haram melalui penguatkuasaan dan pengurusan pengurangan kadar NRW. 

“Di samping itu, bagi memperkasa perkhidmatan pembentungan, fokus Kerajaan Negeri adalah menyediakan sistem rawatan kumbahan yang boleh menampung beban kumbahan mengikut jumlah Kesetaraan Penduduk (PE) yang telah disasarkan serta meningkatkan kapasiti liputan rangkaian sistem pembetungan dan memastikan kualiti efluen yang dilepaskan daripada loji rawatan kumbahan mematuhi piawaian Jabatan Alam Sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Kerajaan Negeri sempena Istiadat Pembukaan Penggal kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Beliau berkata, selain itu, pelbagai program kesedaran awam akan terus dilaksanakan bagi memberi kesedaran kepada penduduk mengenai kepentingan sistem pembetungan yang baik bagi menjamin kelestarian alam sekitar.

Sementara itu, Tun Juhar berkata, Sabah telah berjaya mengambil alih kuasa kawal selia bekalan gas pada Januari tahun lalu dan kawal selia bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu pada tahun ini. 

Katanya, pencapaian yang membanggakan ini adalah hasil daripada komitmen dan usaha bersungguh-sungguh Kerajaan Negeri dalam menuntut hak-hak negeri seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurutnya, ini termasuklah dalam memastikan  pentadbiran  tenaga  di negeri ini adalah cekap dan berdaya harap.

“Setinggi-tinggi syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Kerajaan Negeri atas kejayaan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Tun Juhar berkata, Pelan Induk dan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) telah dilancarkan Kerajaan negeri pada September 2023 dan menubuhkan Majlis Tenaga Sabah pada tahun ini bagi memastikan bekalan kuasa yang mampan dan berdaya harap, akses yang saksama dan liputan menyeluruh pada harga mampu milik untuk manfaat rakyat di negeri ini.

Katanya, inisiatif- inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan seperti penambahan kapasiti daripada pengoperasian stesen-stesen jana kuasa solar berskala besar, pemulihan operasi stesen-stesen jana kuasa sedia ada, tambahan tenaga boleh baharu yang lain seperti hidro dan biogas, penyewaan interim genset diesel dan pengoperasian sistem penyimpanan tenaga bateri dijangka akan membantu untuk menyelesaikan isu kekurangan kapasiti    penjanaan tenaga di negeri ini.

“Selain itu, pelaksanaan program  Self  Consumption (SELCO) yang telah dilancarkan pada bulan Februari tahun  ini akan membolehkan pengguna-pengguna elektrik memasang sistem solar fotovoltaik untuk kegunaan sendiri dan mengurangkan beban puncak grid terutamanya pada waktu siang. 

“Oleh itu,  saya ingin menyeru semua pihak mengamalkan penggunaan cekap tenaga untuk mengurangkan penggunaan elektrik daripada grid Sabah seterusnya menangani isu kekurangan kapasiti penjanaan serta menjimatkan kos penggunaan elektrik,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Letusan Gunung Ruang: MET Malaysia keluar Amaran Cuaca Penerbangan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya