HomeIsu tempatanESSCOM tahan 37 individu atas pelbagai kesalahan

ESSCOM tahan 37 individu atas pelbagai kesalahan

Read Time:2 Minute, 20 Second

Kalabakan : Seramai 37 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dalam satu Operasi Bersepadu yang dilaksanakan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) di Pos Pemeriksaan Darat (RCP) Kalabakan di sini.

Operasi yang dijalankan selama dua hari berakhir 4 Mei lalu itu turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, operasi yang dilaksanakan itu antara lain adalah bagi memastikan pemeliharaan keselamatan awam di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) kekal terjamin pada tahap yang optimum.

Katanya, Operasi Bersepadu yang dilaksanakan di sekitar daerah Kalabakan itu juga bertujuan membanteras penyeludupan barang kawalan, bersubsidi, tidak bercukai serta mengekang penyusupan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Selain itu menurutnya, operasi ini juga dilaksanakan bagi menguatkuasakan undang-undang terhadap kesalahan-kesalahan lain khususnya di pintu keluar masuk utama warga asing serta penduduk setempat yang menetap sekitar kawasan sempadan antara Malaysia dan Indonesia.

“Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 400 buah kenderaan dan seramai 832 orang individu telah diperiksa oleh pihak berkuasa.

“Daripada jumlah tersebut, seramai  26 orang individu telah ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Tawau untuk siasatan lanjut.

“Selain itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau turut  menahan seramai 10 orang individu atas kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya serta merampas dadah seberat 5.22 gram,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Victor berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) turut menahan seorang individu dan merampas minyak diesel sebanyak 1,750 liter dan sebuah kenderaan Toyota Hilux atas kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sementara itu katanya, pihak Jabatan Pangangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan sebanyak 17 saman dan lapan notis atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Selaras dengan kejayaan Operasi Bersepadu RCP Kalabakan ini, saya bagi pihak ESSCOM ingin menzahirkan penghargaan kepada semua petugas yang menjayakan operasi ini serta semua Jabatan dan agensi yang terlibat.

“Kejayaan operasi ini juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan melalui Operasi Sanggah ESSCOM dalam memperkasakan operasi-operasi sedia ada di bawah PDRM, ATM dan Agensi Penguakuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta agensi-agensi penguatkuasaan yang lain di ESS Zone.

“Ini adalah selaras dengan hasrat ESSCOM iaitu ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’ bagi memastikan ancaman pencerobohan anasir asing dapat dikekang serta pemeliharaan keselamatan awam di pantai Timur Sabah kekal selamat dan terkawal,” katanya.

Katanya, ESSCOM juga akan terus mempergiat operasi bersepadu seumpama ini ke daerah-daerah di ESS Zone bagi mengekang mana-mana elemen jenayah rentas sempadan yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan kesejahteraan awam di pantai Timur Sabah.

“Sehubungan itu, masyarakat diseru untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESS Zone ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863 181 atau melalui aplikasi Whatsapp di talian 011-63311072,” katanya – SABAH MEDIA / FOTO ESSCOM

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Pesta Kaamatan pemangkin kepada ekonomi masyarakat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular