HomeIsu tempatanKPDN Sabah rampas 7,380 liter minyak diesel

KPDN Sabah rampas 7,380 liter minyak diesel

Read Time:1 Minute, 50 Second

Kota Kinabalu : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan barang kawalan dalam satu operasi di sebuah stor tidak bernombor di kawasan Minintod Jalan Panglima Banting, Penampang semalam.

Dalam serbuan yang dijalankan pada jam 4.30 petang itu, sepasukan penguatkuasa berjaya menyita sebanyak 7,380 liter minyak diesel yang diletakkan dalam beberapa tangki penyimpanan.

Pengarah KPDN Sabah Georgie Abas berkata, ia termasuklah disimpan didalam tangki Intermediate Bulk Container (IBC) dalam sebuah Van jenama Toyota (180 liter), skid tank 1 (800 liter), dan skid tank 2 (6,400 liter) yang disyaki untuk dijual kepada industri.

Katanya, turut disita hos getah dan mesin pump yang disyaki digunakan untuk menyeleweng dengan nilai sitaan keseluruhan berjumlah RM57,067.

Menurutnya, seorang lelaki ”warga tempatan yang dipercayai penjaga stor di lokasi serbuan turut ditahan dan diambil keterangan bagi tujuan membantu siasatan.

”Pihak kita telah menjalankan risikan selama seminggu dan berdasarkan keterangan awal, premis stor tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan minyak diesel di lokasi berkenaan.

”Sebagai tindakan lanjut, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan iaitu minyak diesel dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.

”Siasatan juga akan dilakukan di bawah Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Georgie berkata, di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

”KPDN Negeri Sabah akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan barang kawalan di negeri Sabah agar tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan.

”Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar perundangan itu boleh menyalurkan aduan kepada pihak kementerian melalui saluran yang disediakan,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO KPNSabah

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Sabah sasar pasaran pelancongan Timur Tengah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular