HomeUtamaJemaah haji digalakkan kerap minum air, elak terdedah cuaca panas

Jemaah haji digalakkan kerap minum air, elak terdedah cuaca panas

Read Time:1 Minute, 47 Second

BERNAMA

Makkah: Cuaca panas dengan suhu antara 35 hingga 45 darjah Celcius boleh menyebabkan masalah kesihatan bukan kepada jemaah haji tetapi juga petugas yang berada di Tanah Suci ketika ini.

Berikutan itu Ketua Rombangan Haji Malaysia 1445H/2024 Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman meminta jemaah dan petugas Lembaga Tabung Haji (TH) supaya tidak terlalu mendedahkan diri kepada keadaan cuaca panas itu.

“Cuaca yang panas 35 hingga 45 darjah Celsius merupakan cabaran kepada jemaah jadi jangan terlalu terdedah.

“Minum air secukupnya supaya dapat jaga kesihatan sepanjang berada di Tanah Suci,” katanya kepada petugas media dalam sidang media di Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) di sini semalam.

Selain itu beliau yang juga Pengarah Eksekutif Haji TH juga menasihati jemaah haji untuk sentiasa menjaga keselamatan berikutan penempatan hotel di Mekah berlainan daripada Madinah yang lebih hampir dengan Masjid Nabawi.

“Penempatan di Mekah adalah di keliling Masjidil Haram iaitu dengan jarak 400 hingga 900 meter dan ketika ini belum banyak lagi jemaah tiba di Mekah yang menyebabkan ada ketika suasana lewat malam dan awal subuh agak sunyi.

“Jadi saya mengharapkan jemaah agar menjaga keselamatan mereka serta jalan secara berkumpulan dan tidak sendirian kerana dikhuatiri berlaku perkara tidak diingini terhadap keselamatan mahupun barangan mereka,” katanya.

Sementara itu bagi seorang petugas TH di bahagian Pos Laju, Zulhairi Ismail, 41, mengakui keadaan cuaca panas memerlukannya mengambil beberapa langkah berhati-hati untuk mengelak daripada kesihatan terjejas bagi memastikannya dapat terus menyantuni jemaah haji.

“Sejak dari tanah air lagi hasil pembacaan dilakukan berhubung keadaan cuaca di sini. Saya telah bersedia dengan beberapa kelengkapan seperti krim pelembab untuk badan dan bibir.

“Memang diakui walaupun matahari tak nampak, tetapi keadaan agak bahang menyebabkan kulit dan bibir cepat menjadi kering. Alhamdulillah dengan persediaan dilakukan termasuk memakai pelitup muka serta memakan vitamin, saya dapat mengurangkan masalah berkenaan,” katanya kepada Bernama.

Seorang daripada jemaah, Siti Mariam Mohamad, 70, dari Perlis berpendapat keadaan cuaca di Madinah lebih panas berbanding di Mekah.

Beliau yang baharu sahaja tiba di Mekah pada Selasa lepas dan kini menginap di Hotel Abraj Al Janadiriyah memaklumkan mengamalkan minum dengan kerap termasuk air Zam-Zam untuk mengelakkan cepat letih serta memastikannya terus dapat beribadah.  BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

SPRM alu-alukan kerjasama laksanakan program pendidikan antirasuah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular