Kota Kinabalu : Seramai lima individu dikenakan ‘Compound On The Spot’ (COS) selepas didapati membuang sampah sarap di kawasan awam di sekitar Pekan Manggatal di sini semalam.
Kompaun yang dikeluarkan menerusi pelaksanaan Operasi Degil (Ops Degil) itu dilaksanakan Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
“Ops Degil merupakan salah satu strategi DBKK dalam usaha untuk menguatkuasakan Undang-undang Kecil (UUK) Bandaraya Kota Kinabalu (Anti Sampah Sarap) 1984 Pindaan 2005.
“Ia juga adalah untuk mengambil tindakan serta-merta ke atas individu yang didapati membuang sampah sarap di kawasan awam. Ia dilaksanakan seiring Kempen Kesedaran Anti Sampah Sarap di bawah Jabatan Penguatkuasaan DBKK,” menurut kenyatan DBKK di sini hari ini.
Operasi yang bermula jam 9.30 pagi itu membabitkan seramai lima anggota penguatkuasa yang telah memastikan ianya berjalan dengan lancar sehingga tamat pada jam 11 pagi. – SABAH MEDIA / FOTO DBKK