HomeIsu tempatanPelajar Teknologi Pembinaan KV Keningau Menang Geran Komuniti RM2300

Pelajar Teknologi Pembinaan KV Keningau Menang Geran Komuniti RM2300

Read Time:1 Minute, 20 Second

KENINGAU: Pasukan pelajar Teknologi Pembinaan Kolej Vokasional (KV) Keningau telah berjaya terpilih sebagai penerima YouthMADE Festival Amplify Grant melalui projek khidmat komuniti mereka iaitu “First 2 Fix”.

Geran sebanyak USD 500 (RM2300) diberikan kepada 10 projek terbaik daripada lebih 50 penyertaan yang diterima dari seluruh dunia oleh pihak penganjur iaitu Digital Promise Global yang berpangkalan di Washington D.C, Amerika Syarikat.

Penerima geran lain antaranya dari Amerika Syarikat, Brazil, India, Nigeria dan Luxembourg. Pertandingan ini diadakan buat juling-julung kalinya pada 2024 dan senarai pemenang diumumkan secara rasmi pada 22 Mei 2024 di laman sesawang penganjur.

Tujuan geran ini adalah untuk membolehkan projek-projek ini direalisasikan dengan lebih baik.

Pasukan daripada KV Keningau tersebut terdiri daripada lima orang pelajar tahun kedua iaitu Ara Billa Biton, Ahmad Fahmi Ali Hassan, Charles John, Mellyvonny Marius dan Nur Qamariah Hasmeddy.

Sebagai ketua pasukan, Ara Billa menyatakan rasa terujanya kerana projek itu merupakan projek yang mereka baru sahaja wujudkan untuk membantu penduduk sekitar daerah Keningau sambil mengumpul dana untuk aktiviti-aktiviti program mereka.

“Projek komuniti kami ini adalah merupakan projek pembaikan dan pemulihan rumah khususnya bahagian-bahagian tertentu seperti pintu, siling, dinding, lantai dan tangga untuk menjadikan rumah lebih selesa dan selamat untuk didiami.

“Kumpulan sasaran kami adalah penghuni rumah berpendapatan rendah yang kurang mampu mendapatkan perkhidmatan baik pulih bagi tempat kediaman mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah kolej Vokasional Keningau, Nordin Akup meluahkan rasa bangga terhadap pencapaian pelajar-pelajarnya itu.

“Saya berasa berbangga dengan pencapaian pasukan itu atas niat murni mereka dalam membantu komuniti setempat melalui kemahiran mereka dan geran ini dapat membantu menjayakan projek ini,” katanya.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Petugas Tabung Darah digesa tingkat kemahiran, pengetahuan demi keselamatan pesakit

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular