HomeEkonomiPROTUNe beri pendedahan pelajar kepada dunia perniagaan lebih praktikal

PROTUNe beri pendedahan pelajar kepada dunia perniagaan lebih praktikal

Read Time:2 Minute, 23 Second

Kota Kinabalu : Pelaksanaan Program Tunas Niaga (PROTUNe) yang mula dilaksanakan sejak 1997 berjaya memberi pendedahan kepada pelajar sekolah menengah khususnya dalam dunia perniagaan yang lebih praktikal.

Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE) Datuk Thomas Logijin berkata, program itu juga memberi peluang kepada pelajar untuk berhadapan dengan masyarakat umum dalam menjalankan perniagaan sebenar.

“Saya difahamkan jumlah jualan keseluruhan yang dihasilkan oleh syarikat PROTUNe pada tahun lalu adalah berjumlah RM1,468,119.

“Hasil jualan ini melebihi jumlah tahun lalu dalam tempoh berniaga sembilan bulan iaitu Mac sehingga November sahaja.

“Walau bagaimanapun dalam program ini nilai jualan dan keuntungan bukanlah menjadi ukuran utama semata-mata, tetapi apa yang lebih penting ialah peluang dan pendedahan pelajar dalam menghadapi cabaran dalam dunia perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penganugerahan Konvensyen PROTUNe peringkat negeri Sabah di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Setiausaha Tetap MIDE Myrna Jimenez.

Thomas berkata, MIDE turut prihatin dalam menyediakan sumber melalui peruntukan pembangunan keusahawanan kepada agensi melalui Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO).

Katanya, SEDCO berperanan untuk membangunkan usahawan bumiputera termasuk memberi ilmu pengetahuan kepada usahawan dan bakal usahawan.

“Kadar pengangguran di Malaysia masih berada di tahap yang merunsingkan akibat kesan ekonomi dunia. Justeru antara langkah bagi menangani kadar peningkatan berkenaan, MIDE akan terus menggerakkan usaha program keusahawanan kepada pelajar yang ingin menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan.

“Harapan saya kepada semua peserta, agar meneruskan semangat keusahawanan ini tidak kira apa jua bidang yang akan diceburi kelak. Kerana ilmu keusahawanan ini amat luas,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Sedcovest Holdings Sdn. Bhd., Rubbin Guribah berkata, PROTUNe merupakan program tahunan yang diamanahkan oleh SEDCO kepada Sedcovest untuk dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

“Program pembudayaan keusahawanan dengan sokongan MIDE memberi pendedahan kepada para pelajar Tingkatan satu hingga lima selama sembilan bulan sesi persekolahan. 

“Bermula sejak tahun 1997, kini disertai 40 buah sekolah dari seluruh Sabah dengan penglibatan seramai 1,000 orang pelajar dan 80 orang guru pembimbing. Daripada jumlah tersebut, hanya 15 buah sekolah yang terpilih melalui penilaian panel juri untuk bertanding di peringkat akhir,” katanya.

Pada majlis itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengiran Omar Sipitang dinobat sebagai Johan Anugerah Persembahan Terbaik dan Anugerah Produk Terbaik sekali gus mewakili Sabah ke peringkat kebangsaan pada tahun ini.

Anugerah lain yang turut disampaikan oleh Myrna ialah Anugerah Kiosk Contoh yang dirai SMK Sepagaya Lahad Datu; Anugerah Agensi Pembimbing Terbaik (Amir Hassan Suhaimi dari Perkasa Realty Sdn Bhd); Anugerah Perkhidmatan Syarikat Terbaik (SMK Benoni Papar); Anugerah Guru Penasihat Cemerlang (Syahnur Azura Mohd Saufi dari SMK Pengiran Omar Sipitang); Anugerah Pengetua Cemerlang (Abd Majis Saprin dari SMK Tawau); Anugerah Pengurusan Syarikat Terbaik (Michaelian Millionaire Sdn Bhd dari SM St Michael Penampang) dan Anugerah Laporan Syarikat Terbaik (SM St. Michael Penampang).

Kali terakhir Sabah merangkul Anugerah Persembahan Terbaik di peringkat kebangsaan menerusi SMK Sepagaya Lahad Datu pada tahun 2015. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Petugas Tabung Darah digesa tingkat kemahiran, pengetahuan demi keselamatan pesakit

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular