HomeIsu tempatanPereka fesyen digesa kekalkan material, tenunan asli busana UNK

Pereka fesyen digesa kekalkan material, tenunan asli busana UNK

Read Time:1 Minute, 42 Second

Kota Kinabalu : Para pereka fesyen di negeri ini digesa agar terus mengekalkan material dan tenunan asli dalam rekaan busana Unduk Ngadau Kaamatan.

Pengerusi Majlis Wanita Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) Joanna Kitingan berkata, langkah itu adalah bagi mengangkat martabat keaslian seni tenunan di beberapa daerah, secara tidak langsung meningkatkan ekonomi para pengusaha tenunan di negeri ini.

“Pada tahun ini, kami menyeru para pereka menggunakan bahan asli seperti tenunan dan linangkit sebab sekarang ini motif tersebut senang diperolehi, yang kita dapat daripada mesin.

“Kita mahu membantu wanita yang ada kemahiran menenun supaya kreativiti tersebut digunakan dalam rekaan kontemporari dan mempertingkatkan ekonomi mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah Toh Puan Norlidah R.M Jasni, di sini.

Joanna berkata, ia dilakukan agar kemahiran mereka tidak hilang begitu sahaja berikutan motif-motif kini boleh terdapat dalam cetakan mesin.

“Jadi, ini adalah satu usaha kami sebagai Jawatankuasa Unduk Ngadau supaya semua 50 finalis memberi peluang kepada pereka pakaian mengaplikasikan tenunan asli seperti daripada Matunggong, Kudat, Tambunan dan Tuaran.

“Kalau pakaian Rungus, tenunan yang paling mahal dipanggil Tinongkupan jadi kalau dalam pakaian kontemporari aplikasikan dalam pakaian itu, bukan yang dicetak dan ditampal.

“Selain itu, pada 31 Mei nanti, finalis mesti memakai pakaian tradisi penuh dan haruslah asli juga,” katanya

Joanna berkata, kunjungan tersebut bagi menjemput Toh Puan Norlidah untuk menyerikan acara Sodop Unduk Ngadau 2024 di Hongkod Koisaan KDCA pada 29 Mei ini.

Dalam pada itu, Joana turut memaklumkan pada tahun ini, jawatankuasa pertandingan menjemput panel khas untuk menyediakan soalan penjurian semasa acara pemahkotaan Unduk Ngadau 2024.

“Taklimat khas kepada para finalis Unduk Ngadau 2024 juga akan diadakan pada 26 sehingga 27 Mei ini berkaitan pengucapan umum, adat-adat, Mahkamah Anak Negeri dan juga kearifan wanita.

“Unduk Ngadau 2024 bakal menerima wang tunai RM12,000 selain biasiswa antaranya daripada Asian Tourism International College (ATI College) dan North Borneo University College,” katanya.

Turut hadir dalam kunjungan hormat tersebut ialah Unduk Ngadau 2023, Carol Abbey Gail Grimaldi dan Ahli Jawatankuasa UNK Peringkat Negeri 2024, Philomena Engsun.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Sistem solar bantu tingkat kesejahteraan komuniti luar bandar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular