HomeSukanLiga Super: Sabah ungguli 'Derby Borneo' tewaskan Kuching City FC

Liga Super: Sabah ungguli ‘Derby Borneo’ tewaskan Kuching City FC

Read Time:1 Minute, 56 Second

Kota Kinabalu : Aksi ‘Derby Borneo’ menjadi milik Sabah FC selepas pasukan itu meraih kemenangan tipis 2-1 ke atas Kuching City FC  pada saingan Liga Super di Stadium Likas di sini malam tadi.

Jaringan pemain gantian tuan rumah, Jafry Chew sudah cukup untuk skuad Badak merangkul tiga mata penuh di laman sendiri selepas turut berjaya menewaskan Kelantan Darul Naim (KDN) FC pada aksi kedua liga sebelum ini.

Sabah FC yang lebih mendominasi permainan tidak menunggu lama untuk mencipta jaringan apabila penyerang Darren Lok berjaya menanduk masuk bola hantaran Saddil Ramdani pada minit ke-6

Bagaimanapun, gol itu dibatalkan selepas pemain Kuching City FC mendakwa pertahanan tuan rumah menjatuhkan pemain pelawat dan disahkan pengadil Ahmad Zuhadi Dzulkifli yang menyemak video bantuan pengadil (VAR).

Berikutan itu, skuad Badak terus mengasak ke kubu pelawat dengan beberapa percubaan namun berjaya dipatahkan pertahanan Kuching City FC.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu sekali lagi berpeluang untuk mencipta jaringan pertama menerusi tandukan Gabriel Peres pada minit ke-37 bagaimanapun tandukannya tersasar keluar.

Minit akhir separuh masa pertama, pasukan pelawat hampir mencipta gol pertama menerusi rembatan Yuki Tanigawa pada minit ke-43, bagaimanapun rembatannya tersasar ke tepi gawang tuan rumah.

Bersambung babak kedua, Gabriel sekali lagi cuba untuk mencetak gol untuk Sabah pada minit ke-60 namun sekali lagi sepakannya terus ke dakapan penjaga gol pasukan pelawat.

Empat minit berselang pemain import Kuching City FC Pedro Henrique akhirnya berjaya menjaringkan gol pertama pasukan pelawat pada minit ke-64 membolehkan pasukan pelawat mendahului aksi perlawanan.

Penyokong Sabah FC seramai 5,141 orang yang hadir akhirnya dihadiahkan gol pertama menerusi sepakan penalti yang disudahkan Darren pada minit ke-75.

Gol penyamaan itu diberikan pengadil selepas Kwang Min dijatuhkan didalam kotak penalti dan disahkan menerusi semakan VAR menjadikan kedudukan seri 1-1.

Pemain gantian Sabah FC, Jafry Chew tidak menunggu lama untuk menambah gol kedua tuan rumah pada minit ke-85 selepas menerima bola hantaran Saddil menjadikan Sabah mendahului 2-1.

Kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan dan Sabah kini menduduki tangga ketiga dengan tujuh mata.

Sabah FC akan meneruskan aksi liga super bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 13 Julai depan di Stadium Likas 

Sebelum itu, Sabah FC akan melayani pasukan Kuala Lumpur Rovers (KLR) pada Pusingan 16 Piala FA di laman sendiri pada 15 Jun ini.  – SABAH MEDIA / FOTO SABAH FC

RELATED ARTICLES
Sukan

Sabah FC perlu penyerang baharu, atasi bahagian serangan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular