HomeIsu tempatanPelaksanaan NMM mampu tingkat kesedaran awam terhadap penjagaan kesihatan

Pelaksanaan NMM mampu tingkat kesedaran awam terhadap penjagaan kesihatan

Read Time:2 Minute, 16 Second

Kota Kinabalu : Pelaksanaan program Nutrition Month Malaysia (NMM) anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) mampu meningkatkan kesedaran kepada orang awam terhadap penjagaan kesihatan melalui makanan bagi mencegah penyakit khususnya yang berkaitan pemakanan.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, Program Bulan Pemakanan Malaysia tersebut adalah satu inisiatif tahunan yang diterajui oleh tiga badan profesional terkemuka, iaitu Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM), Persatuan Dietitian Malaysia dan Persatuan Komposisi Badan Malaysia sejak 22 tahun lalu.

“Justeru, sebagai inisiatif pendidikan dan promosi pemakanan peringkat kebangsaan, program NMM ini turut mendapat sokongan daripada Bahagian Pemakanan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Bertemakan ‘Ubah Minda, Cegah Penyakit Berkaitan Pemakanan’, objektif NMM adalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pentingnya mengubah cara pemikiran kita dari konsep ’jagaan sakit’ (sick care) kepada ’pencegahan penyakit’ (disease prevention)

“Kita perlu mengutamakan kepentingan menjaga kesihatan dan mencegah penyakit berbanding hanya mengharapkan rawatan ketika penyakit sudahpun berlaku, terutamanya penyakit-penyakit yang berkaitan pemakanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program Nutritional Month Malaysia peringkat IPT Negeri Sabah dan Pelancaran Makmal Hidup Nutrition in Community Engagement (NICE) di Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) UMS.

Perasmian penutupan tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud.

Mengulas mengenai Makmal Hidup NICE yang dilancarkan,  Kasim berkata makmal hidup tersebut diharap dapat memantapkan lagi daya usaha untuk menangani penyakit-penyakit kronik yang berkaitan dengan pemakanan, sekali gus memperkukuhkan sektor sekuriti makanan dan pemakanan.

“Penubuhan makmal hidup NICE ini dijangka mampu meningkatkan status pemakanan, menyokong dan meningkatkan sistem makanan yang lestari bagi pemakanan yang sihat untuk masyarakat sebagai tambahan kepada perkhidmatan runding cara pemakanan yang disediakan melalui klinik-klinik kesihatan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.

“Makmal hidup ini juga akan melibatkan pelbagai pemegang taruh dari segenap sektor bagi memastikan perancangan serta pelaksanaan program-program makanan dan pemakanan adalah menyeluruh dan berkesan demi kemakmuran bersama,” katanya.

Sementara itu, Mustapha menyambut baik usaha murni UMS serta agensi-agensi yang terlibat dalam penganjuran program NMM 2024.

“Adalah menjadi hasrat negara untuk melahirkan generasi yang sihat melalui kesejahteraan pemakanan bermula daripada usia muda.

“Usaha bagi memerangi dan menamatkan semua bentuk masalah malpemakanan memerlukan satu strategi dan pendekatan yang mampan melibatkan dan merentasi semua sektor kerajaan, swasta, industri dan penduduk Malaysia sendiri.

“Dalam hal ini, perancangan dan pelaksanaan pelan tindakan pemakanan yang komprehensif memerlukan sokongan padu dan komitmen daripada semua pihak termasuklah kita semua,” katanya.

Pelbagai aktiviti pendidikan dan promosi pemakanan telah diadakan bersempena NMM bermula sejak 22 April lalu.

Antaranya termasuklah tip harian pemakanan sihat yang telah dikongsikan di platform-platform rasmi dan media sosial UMS, FSMP dan Kelab Pemakanan UMS, selain aktiviti-aktiviti yang menyasarkan golongan pelajar IPT seperti pertandingan tik tok, bengkel penyediaan model makanan, senam santai mingguan dan Nutrition International Colloquium for Excellence in Undergraduate Research (NICER).

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMS promosi gaya hidup sihat di Kg. Long Pasia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular