HomePendapatKelantangan Sabah tuntut hak beri inspirasi negeri lain

Kelantangan Sabah tuntut hak beri inspirasi negeri lain

Read Time:5 Minute, 31 Second

Oleh Wan Azrain Adnan

1.        Baru-baru ini, semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Ketua Menteri Pulau Pinang di laporkan telah mengesyorkan agar Kerajaan Malaysia mengkaji semula sistem pengagihan kutipan hasil cukai kepada negeri-negeri di Malaysia, termasuklah Pulau Pinang.

2.        Dengan itu, beliau telah mencadangkan agar Kerajaan Malaysia mengembalikan semula kepada Pulau Pinang sejumlah 20% daripada hasil cukai yang di perolehi oleh Kerajaan Malaysia dari Pulau Pinang.

3.        Beliau memaklumkan bahawa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengutip hasil cukai sekitar RM 7 – 8 billion setiap tahun daripada Pulau Pinang. Ini bermakna, Pulau Pinang boleh mendapat sebanyak RM 1.6 billion setahun, sekiranya 20% daripada hasil cukai tersebut di kembalikan.

Jumlah yang besar ini boleh di guna-pakai untuk melaksanakan agenda pembangunan sosio-ekonomi dengan lebih berkesan demi kesejahteraan rakyat Pulau Pinang.

4.        Professor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi, seorang pakar Undang-Undang Perlembagaan, berpendapat bahawa Pulau Pinang berhak memohon kajian semula sistem agihan kutipan hasil cukai. Tetapi, cadangan berkenaan hanya boleh berjaya dengan persetujuan semua negeri-negeri menerusi dua cara, iaitu: perkenalan polisi baru Kerajaan Malaysia ataupun pindaan perlembagaan.

5.        Sudah pasti kedua-dua cara tersebut memiliki kebaikan dan kelemahan tersendiri. Sebagai contoh:

  • perubahan polisi boleh di buat dengan lebih mudah dan cepat, berbanding dengan pindaan perlembagaan yang memerlukan sokongan dua-pertiga Ahli Parlimen
  • pindaan perlembagaan boleh memberi jaminan yang lebih kukuh, berbanding dengan polisi yang boleh di ubah-suai dengan lebih mudah mengikut budi-bicara kerajaan yang mentadbir   

6.        Secara am-nya, cadangan Ketua Menteri Pulau Pinang berkenaan mirip kepada sistem agihan kutipan hasil di antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Sabah ketika ini. Sistem ini sudah di guna-pakai sejak penubuhan Malaysia, dan termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

7.        Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Sabah berhak menerima Geran Khas Tahunan daripada Kerajaan Malaysia, pada kadar dua-perlima (40%) daripada kutipan hasil yang di perolehi oleh Kerajaan Malaysia dari Sabah.

8.        Peruntukkan Perlembagaan ini adalah unik kepada Sabah sahaja, dan tidak terpakai kepada negeri-negeri lain di Malaysia. Ini telah di persetujui sebagai salah satu syarat untuk Sabah bersama-sama menubuhkan Malaysia pada tahun 1963. 

9.        Namun begitu, dalam tempoh lebih 50 tahun sejak 1973, Kerajaan Malaysia telah gagal membayar sepenuhnya Geran Khas Tahunan berkenaan kepada Sabah. Dalam tempoh masa tersebut, Sabah hanya menerima jumlah yang kecil sahaja berbanding dengan jumlah yang sewajarnya di terima, bersandarkan jumlah kutipan hasil yang besar di perolehi oleh Kerajaan Malaysia, menerusi industri utama Sabah seperti minyak & gas, dan kelapa sawit.

10.      Kegagalan pembayaran penuh Geran Khas Tahunan berkenaan telah menjejaskan agenda pembangunan Sabah untuk tempoh masa yang begitu lama, dan meletakkan Sabah sebagai antara negeri termiskin di Malaysia. Sehingga kini, Sabah masih bergelut untuk menangani isu-isu legasi yang telah menghantui kesejahteraan hidup rakyat Sabah dari generasi ke generasi, antaranya: bekalan air dan elektrik, prasarana awam seperti hospital dan sekolah, rangkaian jalan-raya.

11.      Rakyat Sabah merasa marah dan dukacita kerana hak mereka terus di pinggirkan secara terang-terangan. Malah hak tersebut telah di guna-pakai untuk memberi kesejahteraan kepada orang-orang lain, sementara rakyat Sabah menderita kemiskinan. Justeru itu, Sabah kini lantang dan gigih untuk mendapat sepenuhnya hak tersebut, sebagaimana yang di persetujui dan di impikan oleh pemimpin-pemimpin yang menandatangani Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

12.      Kelantangan Sabah menuntut hak itu mungkin telah mendorong Ketua Menteri Pulau Pinang untuk mengemukakan cadangan 20% tersebut bagi mendapatkan agihan hasil cukai yang lebih adil saksama untuk rakyat Pulau Pinang. Selain itu, negeri-negeri lain mungkin juga menderita dan mengalami perkara yang sama di hadapi oleh rakyat Sabah.

Contoh terbaik ialah Terengganu.

13.      Pada November 2023, ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Menteri Besar Terengganu telah memaklumkan bahawa Kerajaan Terengganu masih belum menerima sepenuhnya pembayaran Royalti Petroleum untuk tahun 2023 daripada Kerajaan Malaysia. Ketika itu, Kerajaan Terengganu hanya menerima RM 510 juta sahaja, daripada anggaran jumlah Royalti Petroleum sebanyak RM 1.524 billion untuk tahun 2023.

Tiada maklumat samada pembayaran Royalti Petroleum untuk tahun 2023 telah di buat sepenuhnya.

14.      Kelewatan pembayaran Royalti Petroleum sudah pasti menjejaskan agenda pembangunan untuk kesejahteraan rakyat Terengganu. Malah, lebih menjengkelkan ialah hak rakyat Terengganu seolah-olah di perlekeh dengan penggunaan istilah berlainan dan cara pembayaran Royalti Petroleum.

15.      Secara ringkasnya, Terengganu berhak mendapat sejumlah 5% Royalti Petroleum daripada industri minyak & gas di Terengganu. Ini sepatutnya di bayar terus oleh PETRONAS kepada Kerajaan Terengganu.

16.      Namun begitu, Menteri Besar Terengganu memaklumkan, dalam tempoh hampir 50 tahun, pelbagai istilah telah diguna-pakai oleh Kerajaan Malaysia untuk merujuk kepada hak Terengganu ke atas hasil petroleum:

  • 1978 – 1999: Royalti Petroleum
  • 2000 – 2003: Wang Ehsan
  • 2004 – 2018: Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKPP)
  • 2019 – 2021: Bayaran Tunai Petroleum
  • 2022 – kini: Wang Ehsan

17.      Penggunaan istilah Wang Ehsan memberi gambaran bahawa pembayaran yang di buat oleh Kerajaan Malaysia adalah atas dasar ‘belas kasihan’ kepada rakyat Terengganu. Sesungguhnya, ini merendahkan martabat rakyat Terengganu. Rakyat Terengganu bukan pengemis!

18.      Pada November 2020, ketika Persidangan Dewan Rakyat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Malaysia telah memaklumkan bahawa Kerajaan Malaysia telah membayar hasil petroleum berjumlah RM 61.32 billion kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan, untuk tempoh masa antara 2008 – 2020 (12 tahun):

  • Sabah: RM 13.2 billion
  • Sarawak: RM 25.3 billion
  • Terengganu: RM 22.4 billion
  • Kelantan: RM 418.9 juta

19.      Menurut beliau lagi, PETRONAS membuat pembayaran 5% hasil petroleum berkenaan secara terus kepada Sabah dan Sarawak. Sebaliknya, PETRONAS menyalurkan pembayaran kepada Kementerian Kewangan Malaysia, yang membuat pembayaran kepada Terengganu dan Kelantan. Kenapa pula?

20.      Maka, Kerajaan Malaysia wajar menghormati hak rakyat Terengganu dengan menggunakan semula istilah Royalti Petroleum, serta membuat pembayaran penuh tepat pada masanya. Kerajaan Terengganu berhak mengguna-pakai duit Royalti Petroleum berkenaan sebaik-baiknya mengikut budi-bicara tersendiri untuk kesejahteraan rakyat Terengganu.

21.      Cadangan Ketua Menteri Pulau Pinang untuk kajian semula agihan kutipan hasil cukai sewajarnya mendapat pertimbangan oleh Kerajaan Malaysia. Ini membolehkan kejayaan dan kemewahan negara di agihkan dengan lebih saksama, terutamanya kepada negeri-negeri yang masih ‘ketinggalan’ agar dapat di bangunkan dengan lebih pesat.

RELATED ARTICLES
Pendapat

Sabah wajar gandakan pelaksanaan Model Pertanian Pintar dalam industri kelapa sawit...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular