Kota Kinabalu : PETRONAS menyasarkan untuk mengeluarkan minyak dan gas di Malaysia sebanyak dua juta tong minyak setara sehari pada tahun ini dan beberapa tahun akan datang.
Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia, PETRONAS Datuk Ir Bacho Pilong berkata, komitmen pelaburan bagi tahun ini dalam industri huluan di Malaysia dijangka mencecah hampir RM60 bilion.
Katanya, sebagai pembekal tenaga yang bersepadu dan dipercayai, PETRONAS tetap teguh dalam memenuhi permintaan tenaga dalam negara dan kawasan serantau yang semakin meningkat.
“PETRONAS menyasarkan pengeluaran minyak dan gas di Malaysia sebanyak dua juta tong minyak setara sehari pada tahun ini dan tahun-tahun yang akan datang dengan komitmen pelaburan pada tahun ini bagi industri huluan di Malaysia dijangka mencecah hampir RM60 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Hari Kerjaya Minyak dan Gas Edisi Sabah 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, semalam.
Program itu dirasmikan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Ruslan Muharam.
Bacho berkata, inovasi digital memainkan peranan penting dalam evolusi ini untuk meningkatkan kecekapan operasi, keselamatan dan kelestarian melalui teknologi seperti Kecerdasan Buatan ataupun Artificial Intellgence (AI), Blockchain, dan Internet of Things (IoT).
Justeru katanya, para pelajar-perlu mempersiapkan diri untuk membina kerjaya dalam era digital dengan mengamalkan pembelajaran berterusan dalam bidang-bidang ini.
Menurutnya, ia bukan sahaja untuk kekal relevan malah memimpin perubahan dalam dunia yang semakin dipacu oleh teknologi.
“Dengan permintaan tenaga yang semakin meningkat, industri harus sentiasa meningkatkan usaha dengan penuh iltizam, dalam menyediakan tenaga yang lebih bersih dan rendah kos. Ini selari dengan peralihan tenaga atau ‘Energy Transition’,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata lebih 700 jawatan dalam industri minyak dan gas ditawarkan syarikat itu bersama beberapa lagi syarikat berkaitan minyak dan gas yang lain sempena Hari Kerjaya Minyak dan Gas Edisi Sabah 2025.
“Acara hari ini (semalam) bukan saja mengumpulkan 26 pameran daripada syarikat dalam bidang minyak dan gas, bahkan kita juga menyaksikan lebih daripada 700 peluang pekerjaan dari syarikat antarabangsa yang terkemuka seperti Shell, ConocoPhillips, Hibiscus Petroleum dan PTTEP.
“Lebih menarik, peluang pekerjaan yang ditawarkan bukan saja bertempat di negeri Sabah tetapi juga di seluruh negara. Selain itu, kami turut bekerjasama dengan pihak institusi pendidikan dalam memberi pendedahan serta menawarkan bantuan kepada pelajar yang berminat,” katanya.
Beliau berkata tujuan utama penganjuran Hari Kerjaya Minyak dan Gas adalah untuk menghubungkan graduan baharu dengan syarikat yang mencari bakat baharu sekali gus ia menawarkan peluang berharga kepada anak Sabah memulakan kerjaya dalam bidang minyak dan gas.
Katanya, ia dilaksanakan menerusi kerjasama kolektif dengan rakan strategik PETRONAS, khususnya dari kerajaan negeri melalui Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) Sabah, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Sabah dan syarikat minyak dan Gas. – SABAH MEDIA