HomeIsu tempatanMaritim Malaysia tahan bot kargo langgar syarat sah lesen

Maritim Malaysia tahan bot kargo langgar syarat sah lesen

Read Time:1 Minute, 7 Second

Tawau : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan sebuah bot kargo yang melanggar syarat sah lesen kerana gagal memaklumkan pertukaran nakhoda pada jam 8.30 malam semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, dalam operasi yang dijalankan pihaknya berjaya mengesan bot kargo yang bergerak dari Pulau Sebatik menuju ke Perairan Kinabutan.

“Pemeriksaan awal ke atas bot yang ditahan di kedudukan 2.8 batu nautika selatan Tinagat itu mendapati, seorang juragan lelaki warga Indonesia berusia 40 tahun mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Hasil pemeriksaan dokumentasi seterusnya mendapati nama juragan tersebut tiada dalam lesen bot yang didaftarkan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Shahrizan berkata, sikap pengusaha bot kargo yang tidak mengambil berat berkaitan syarat-syarat sah lesen ini wajar diambil tindakan bagi memberi pengajaran kepada pengusaha-pengusaha bot agar lebih peka dengan syarat yang ditetapkan.

Katanya, bot kargo dengan muatan buah kelapa sawit bersama juragan tersebut ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau bagi diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk disiasat di bawah Akta Perkapalan Saudagar (MSO) 1952, kerana gagal memaklumkan pertukaran nakhoda.
Tambahnya lagi, nilai rampasan termasuk bot kargo dianggarkan sekitar RM46,000.

“Salurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752116 dan talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Maritim Malaysia tahan dua bot tunda nelayan lakukan aktiviti tarik pukat...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular