Seremban : Sabah FC berjaya menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) dengan kemenangan tipis 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, petang tadi.
Tuan rumah yang memulakan perlawanan dengan menguji gawang skuad Badak seawal minit keempat, namun bola percubaan Hein Htet Aung berjaya ditangkap kemas penjaga gol pelawat, Damien Lim.
Serangan balas pantas Sabah FC yang memperoleh sepakan sudut berjaya menggunakan peluang itu apabila Saddil Ramdani yang menerima bola dan tidak dikawal, mudah menyepak ke dalam gawang tuan rumah menewaskan Muhamad Aqil Abd Razak pada minit kelima.
NSFC berpeluang untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-60 hasil gerakan satu dua antara Thet Aung dengan Jacque Faye dalam kawasan gol Sabah, namun kedua-dua pemain itu mensia-siakan peluang apabila gagal mengawal bola dengan baik.
Sabah kemudian berjaya melebarkan penguasaan mereka apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-71 menerusi pemain gantian, Joao Pedro.
Bagaimanapun NSFC berjaya merapatkan jurang menerusi jaringan Htet Aung pada minit 82 menjadikan gol berubah 2-1.
Sabah FC kini kekal di tangga ketiga dengan mengutip 32 mata. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH FC