Kota Kinabalu: Tiada pelajar Sabah terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan lapan pelajar Malaysia dari Universiti Al-Azhar ketika dalam perjalanan ke Port Said, Mesir.
Perkara itu disahkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga Exco Pendidikan dan Agama Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
“Saya sudah hubungi pegawai kita di Rumah Sabah di Cairo, tiada anak Sabah terlibat,” katanya ketika dihubungi Sabah Media di sini hari ini.
Sementara itu, memetik laporan BERNAMA berkata, Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dan Education Malaysia Egypt (EME) sedang memantau rapi situasi membabitkan lapan pelajar Malaysia dari Universiti Al-Azhar yang terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke Port Said, Mesir.
“Pegawai Education Malaysia Egypt segera melawat pelajar itu di Hospital As Salam Port Said untuk memberikan bantuan dan menilai keadaan mereka,” menurut Kementerian Luar yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurut Wisma Putra, lima daripada pelajar itu mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.
“Tiga lagi yang sedang dalam pemerhatian akan dipindahkan ke Hospital Sayed Galal di Kaherah untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Wisma Putra memaklumkan bahawa Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah telah memberikan sokongan kepada pelajar itu dan akan terus memantau keadaan dengan teliti mereka bagi memastikan kesejahteraan mereka.
Bagi bantuan konsular, pihak terlibat boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah di 10, Street 261, Maadi, Kaherah, Mesir.
Selain itu, kedutaan boleh dihubungi melalui talian +20 225174210 dan kecemasan (selepas waktu pejabat) di +201 200276388 atau melalui e-mel [email protected].
“Kementerian akan terus menyediakan maklumat terkini sekiranya perlu,” menurut Wisma Putra.
Education Malaysia Egypt dalam satu catatan di akaun Facebook miliknya menyatakan kemalangan kereta yang menimpa lapan orang pelajar Malaysia itu berlaku kira-kira 12 tengah hari, Sabtu.
Lima pelajar itu ialah Muhammad Firdaus Yacob, Muhammad Adli Fitri Mohd Anuar, Shahrul Aiman Jaafar, Muhammad Zulfiqar Ahmad Tarmizi dan Muhammad Hazieq Badrisyah Norhamedon mengalami luka-luka ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.
Selain itu, tiga lagi pelajar, Muhammad Zafri Abdul Rasyid, Muhammad Sulhi Nazri dan Muhammad Rais Zafran Muhammad Shuhaimi telah dibawa ke hospital Sayed Galal untuk rawatan lanjut.