HomePendapatPelaksanaan Perintah Gaji Minimum Baharu disambut baik

Pelaksanaan Perintah Gaji Minimum Baharu disambut baik

Read Time:3 Minute, 27 Second

Oleh FLORIETA DIET

KOTA KINABALU: Rata-rata mereka yang ditemui Sabah Media di sini menyambut baik pelaksanaan Perintah Gaji Minimum Baharu RM1,700 sebulan, berbanding RM1,500 sebelum ini.

Mereka juga berharap Kerajaan Sabah akan mempertimbangkan agar perintah itu turut dilaksanakan di Sabah.

Perintah yang berkuatkuasa pada 1 Februari lepas itu diumumkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

Galfinand

Galfinand Gilbert, 26, berasal dari Keningau bekerja sebagai pengawal keselamatan di sini turut menyambut baik pelaksanaan perintah gaji minima itu.

Beliau berharap Kerajaan Negeri turut mengikut langkah berkenaan untuk kesamarataan pendapatan isi rumah antara pekerja di semenanjung dan di Sabah.

“Bagi saya, gaji lama memang tidak cukup untuk menampung keluarga. Hanya saya seorang yang bekerja menanggung keluarga … untuk memenuhi keperluan kami dan anak yang masih kecil,” katanya.

Tambahnya lagi, jika Kerajaan Negeri turut melaksanakan perintah itu, ramai ketua keluarga akan merasa senang dan menarik nafas lega.

Galfinand turut menjelaskan kadar pemberian gaji di Sabah masih terlalu rendah berbanding dengan di Semenanjung Malaysia.

“Sebelum bekerja di Kota Kinabalu, saya pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan di semenanjung dengan gaji yang ditawarkan RM2,500 dan ada yang dapat lebih dari itu,” katanya menambah berbezaan perberian gaji di Sabah dan Semenanjung Malaysia sangat ketara.

Beliau berharap Kerajaan Negeri turut mengkaji pemberian gaji di Sabah agar sama rata dengan pekerja di semenanjung.

Hambug

Manakala Hambug Sakong, 49, yang berasal dari Semporna, turut menyambut baik penetapan gaji baharu itu. Katanya, walaupun kenaikan itu tidaklah terlalu tinggi daripada gaji sebelum ini tetapi ia memberi kesan besar dalam perubahan ekonomi keluarga.

Dia yang sudah bekerja sebagai pengawal keselamatan selama enam tahun merasakan nilai gaji yang diterima setiap bulan adalah tidak mencukupi.

“Saya perlu membayar sewa rumah, menanggung isteri dan dua orang anak yang bersekolah serta seorang kakak berumur 60 tahun yang memerlukan perhatian kesihatan…gaji saya dapat setiap bulan memang tidak cukup untuk semua ini,” katanya.

Beliau juga berharap, kerajaan perlu melakukan sesuatu untuk menurunkan harga barang keperluan di Sabah.

“Harga barangan keperluan di Sabah adalah mahal, saya berharap kerajaan buatlah sesuatu untuk menurunkan harga barangan di Sabah. Sebab kalau gaji naikpun..harga barang naik, keadaannya tetap sama,” katanya.

Felly

Felly Floreans Jedau, 25, dari Pitas berasa gembira apabila penetapan gaji itu diumumkan baru-baru ini. Dia kini bekerja di sebuah kedai serbaneka di Kota Kinabalu tetapi beribu pejabat di Semenanjung itu berharap dapat merasa kenaikan gaji baharu itu.

“Buat masa ini, kami belum menerima apa-apa pengumuman daripada majikan, tapi berharap ia benar-benar jadi kenyataan,” katanya.

Penetapan gaji baharu berkenaan sudah pasti dapat meringankan beban bagi mereka yang sudah berkeluarga,” katanya dan berterima kasih di atas keprihatinan pada Kerajaan Persekutuan menjaga rakyatnya.

Telcadora

Manakala Telcadora James,45, dari Tenghilan, amat menyokong penetapan gaji minimum RM1,700 sebulan kerana ia boleh membantu rakyat untuk mengatasi kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Walau bagaimanapun, kos barangan dan perkhidmatan di Sabah secara amnya lebih tinggi berbanding di Semenanjung Malaysia. Ini bermakna walaupun gaji minimum dinaikkan kepada RM1,700, ia mungkin masih tidak mencukupi di Sabah kerana kos seperti makanan, perumahan, dan pengangkutan lebih mahal di sini.

“Akibatnya, pekerja di Sabah mungkin tidak merasai sepenuhnya manfaat daripada kenaikan gaji tersebut,” katanya.

Telcadora yang bekerja sebagai Pengurus Pemasaran dan Promosi di sebuah syarikat swasta menambah, secara keseluruhannya, ia adalah langkah yang baik, tetapi impaknya perlu dipantau dengan teliti.

“Saya berharap kerajaan dapat melakukan lebih banyak kajian dan analisis mengenai gaji minimum yang sesuai untuk rakyat Sabah, mengikut kos kehidupan di sini,” katanya.

Pada 1 Februari lepas, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mengumumkan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum baharu itu.

Perintah itu terpakai kepada majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih dan majikan yang menjalankan suatu aktiviti profesional, tanpa mengambil kira bilangan pekerja yang digajikan oleh majikan berkenaan.

Bagi majikan yang menggajikan kurang daripada lima orang pekerja, tarikh kuat kuasa akan bermula pada 1 Ogos depan, bagi memastikan majikan diberi tempoh mencukupi untuk melakukan penyesuaian dalam struktur gaji dan operasi syarikat masing-masing.

Semua majikan diwajibkan untuk mematuhi perintah itu dan memastikan pekerja mereka menerima gaji pokok tidak kurang daripada RM1,700 sebulan, dan kegagalan mematuhi perintah itu menjadi satu kesalahan yang boleh didenda di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).

RELATED ARTICLES
PendapatUtama

Produktiviti Kelapa Sawit Malaysia Harus Berteras Teknologi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular