Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Taktik licik sindiket e-waste akhirnya terbongkar apabila Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah berjaya menahan 58 individu serta merampas pelbagai bahan buangan sisa berjadual elektronik bernilai RM65 juta dalam operasi khas, Op Hazard, yang dijalankan pada 15 Februari lalu.

Operasi serentak di seluruh negara ini dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi membanteras aktiviti pelanggaran syarat permit sah.
Komander PGA Sabah, Datuk Abdul Rani Alias berkata, sebanyak 12 premis di seluruh negeri ini diperiksa selepas disyaki menjalankan aktiviti haram berkaitan pengurusan sisa buangan elektronik.
“Hasil pemeriksaan mendapati dua premis beroperasi tanpa permit, manakala selebihnya melanggar syarat yang ditetapkan dalam permit JAS Negeri Sabah.
“Semua premis ini diperiksa mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau memaklumkan bahawa jumlah keseluruhan individu yang ditahan adalah seramai 58 orang, termasuk 37 lelaki dan tujuh wanita tempatan, selain 11 warga Indonesia dan tiga warga Filipina.
“Nilai anggaran bahan buangan sisa berjadual elektronik yang dirampas dianggarkan berjumlah RM65.1 juta,” tambahnya.
Menurut Abdul Rani, siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pegawai JAS Negeri Sabah mengikut Seksyen 16(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Beliau turut menegaskan bahawa pihak polis melalui PGA akan terus bekerjasama dengan JAS dalam memastikan undang-undang berkaitan alam sekitar dipatuhi sepenuhnya.