Oleh Florieta Diet
SANDAKAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sandakan menerima sebanyak 15 kes serahan berkaitan penyelewengan barang kawalan dengan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM1,302,073.20 setakat 25 April tahun ini.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah Azdy Zukkry John, berkata kes-kes ini merupakan hasil kerjasama erat dengan agensi penguat kuasa lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA).
Terbaharu, KPDN Sandakan bersama PPM telah melaksanakan Operasi Bersepadu bagi mempertingkatkan pengawasan dan membanteras ketirisan barang kawalan di kawasan perairan Sandakan.
Operasi yang dijalankan pada malam 23 April itu melibatkan seramai sembilan anggota gabungan dari KPDN dan PPM, menggunakan aset milik PPM untuk menjalankan pemeriksaan.
Operasi ini tertumpu di kawasan Sungai Seguntor, pesisir Tanah Merah Kampung Bokara, serta beberapa jeti swasta di sekitar Sandakan. Pemeriksaan telah dijalankan terhadap beberapa bot dan kapal yang berada di kawasan tersebut.
“Operasi yang bermula pada jam 9 malam dan tamat sekitar jam 2.30 pagi ini tidak mengesan sebarang aktiviti yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961. Namun, usaha pengawasan akan terus dipertingkatkan,” jelas beliau.
Di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya. Bagi kesalahan berulang, denda boleh mencecah RM3 juta atau penjara lima tahun. Syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.
Azdy menegaskan bahawa kerjasama strategik antara KPDN dan agensi penguat kuasa lain seperti PDRM amat penting dalam membanteras penyeludupan serta penyelewengan barang kawalan seperti minyak masak bersubsidi, LPG, petrol RON95, diesel, tepung gandum dan gula ke negara jiran.
KPDN Sandakan turut menyeru orang awam supaya menjadi mata dan telinga kerajaan dalam menyalurkan maklumat berkaitan salah laku peniaga atau penyeludupan barang kawalan melalui saluran rasmi, Antaranya melalui WhatsApp di talian 019 848 8000, Portal Aduan (http://eaduan.kpdn.gov.my), Call Centre: 1 800 886 800, Emel: [email protected], Aplikasi Ez ADU KPDN, Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC): 03 – 8882 6088 / 6245 dan surat rasmi ke Pejabat KPDN berdekatan.