Putatan : Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tansau Penampang kini menikmati kemudahan padang baharu hasil penaiktarafan yang dibiayai menerusi peruntukan Parlimen Putatan.
Ahli Parlimen Putatan Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, kemudahan baharu itu dijangka akan dapat memberi manfaat kepada hampir 2,000 pelajar di sekolah berkenaan.

Katanya, padang itu merupakan padang kedua daripada tiga projek penaiktarafan padang sekolah di bawah peruntukan tersebut, selepas SMK Putatan.
Menurutnya, aebuah lagi padang mini di Sekolah Kebangsaan (SK) Petagas dijangka siap hujung bulan ini.
“Jadi kita berharap dengan adanya padang yang berada dalam keadaan yang lebih selesa ini, ianya akan dapat membantu pelajar-pelajar sekolah ini untuk menjalani aktiviti kokurikulum mereka dan seterusnya melahirkan ahli-ahli sukan yang berprestasi baik dan juga cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Padang SMK Tansau di Putatan di sini semalam.
Dalam pada itu, Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri turut mengucapkan tahniah kepada sekolah tersebut atas pencapaian SPM 2024 yang membanggakan, dengan 12 pelajar memperoleh keputusan ‘straight A’ bagi 8 hingga 10 mata pelajaran. – SABAH MEDIA