Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melancarkan Kempen Bandaraya Sihat, Komuniti Sejahtera, dengan fokus utama kepada pengurusan populasi burung secara mampan di bandar ini.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah, berkata DBKK percaya bahawa dengan perancangan yang bijak, kemajuan pembangunan bandar boleh dicapai tanpa menjejaskan keseimbangan alam semula jadi.
“Sambutan Hari Kesihatan Sedunia diraikan pada 7 April setiap tahun. Tahun ini, Bandaraya Kota Kinabalu menyambutnya dengan melancarkan Kempen Bandaraya Sihat, Komuniti Sejahtera, yang menumpukan kepada pengurusan populasi burung di Kota Kinabalu, khususnya burung merpati, burung gagak dan burung selangkir.
“Kempen ini akan berlangsung selama dua bulan, bermula 25 April hingga 25 Jun 2025,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Pelancaran Kempen Bandaraya Sihat, Komuniti Sejahtera sempena Hari Kesihatan Sedunia 2025 Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu.
Teks ucapan tersebut dibacakan oleh Ketua Pengarah Sektor Perancangan dan Pembangunan DBKK, Lifred Wong.
Sabin berkata antara objektif kempen ini adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu-isu kesihatan semasa, menyebarkan maklumat kesihatan berhubung penyakit berjangkit bawaan burung, serta melaksanakan tindakan pencegahan penyakit dan kawalan populasi burung.
Beliau menjelaskan bahawa selain aspek kesihatan, kempen ini juga merupakan satu usaha penting untuk menguruskan hidupan liar di Bandaraya Kota Kinabalu dengan lebih berkesan, terutamanya burung-burung yang semakin banyak menghuni kawasan bandar.

“Walaupun hidupan liar merupakan sebahagian daripada ekosistem kita, peningkatan populasi burung seperti burung gagak, merpati dan selangkir telah memberikan cabaran besar kepada pengurusan persekitaran bandaraya. Kempen yang dilancarkan hari ini (Sabtu) juga adalah sebahagian daripada usaha berterusan kita untuk mewujudkan sebuah bandaraya yang sihat, mesra pelancong dan mampan,” katanya.
Sabin berkata kehadiran burung gagak di Bandaraya Kota Kinabalu adalah suatu perkara yang baharu. Hasil pemantauan DBKK mendapati populasi burung gagak semakin meningkat, terutama di kawasan Pusat Bandaraya atau Central Business District (CBD). Ini bukan sahaja menimbulkan gangguan dari segi kebersihan, tetapi juga boleh mempengaruhi ketenteraman awam.
Begitu juga dengan burung merpati yang banyak berada di kawasan tumpuan pelancong, kawasan kedai dan tempat awam. Najis burung merpati ini boleh membawa risiko penyakit yang boleh menjejaskan kesihatan masyarakat.
Penyakit seperti ‘Histoplasmosis’ iaitu jangkitan kulat pada paru-paru, dan ‘Salmonellosis’ iaitu jangkitan bakteria usus, boleh tersebar melalui najis burung, khususnya di kawasan yang sering dikunjungi orang ramai.
Selain itu, burung selangkir yang dahulunya hanya berada di pinggir hutan kini semakin banyak mendiami kawasan bandar.
Walaupun burung ini berperanan dalam ekosistem, kehadiran mereka dalam jumlah berlebihan boleh mengganggu kehidupan seharian masyarakat dan menimbulkan masalah kebersihan bandar.
“Disamping itu, kerosakan yang ditimbulkan oleh burung-burung ini terhadap bangunan dan struktur bandar juga menambahkan kos penyelenggaraan. Dalam jangka panjang, situasi ini boleh memberi kesan negatif kepada ekonomi bandaraya dan berpotensi merosakkan daya tarikan Kota Kinabalu sebagai destinasi pelancongan utama,” jelas Sabin.
Sabin berkata melalui kempen ini, DBKK menasihatkan orang ramai supaya menjaga kebersihan dengan memastikan sisa makanan dan sampah dibersihkan segera bagi mengelakkan sumber makanan kepada burung gagak dan merpati. Selain itu, masyarakat dinasihatkan supaya mengelakkan memberi makanan kepada burung merpati di kawasan awam agar tidak menarik lebih banyak burung.
Beliau turut mengingatkan supaya menutup lubang di bumbung atau ruang bangunan yang boleh menjadi tempat burung bersarang, serta memasang ‘bird spikes’ di lokasi-lokasi strategik untuk menghalang burung bertenggek.
Dalam kempen ini, DBKK akan meningkatkan tahap kebersihan awam dengan menjalankan aktiviti penyapuan dan pencucian secara berkala di kawasan Pusat Bandaraya bagi mengurangkan risiko kesihatan akibat najis burung.
DBKK juga akan memperluas usaha publisiti dan meningkatkan kesedaran awam melalui pengedaran risalah kesihatan dan pemasangan papan tanda larangan memberi makanan kepada burung merpati di lokasi strategik.
Selain itu, pemantauan dan penguatkuasaan akan dipertingkatkan dengan tindakan menegur serta mengeluarkan kompaun kepada mereka yang memberi makanan kepada burung di kawasan awam.
Sebagai langkah kawalan tambahan, DBKK akan melaksanakan operasi tangkapan burung, Ops Nyah Sarang, serta Ops Pangkas, iaitu memangkas pokok-pokok yang sering menjadi tempat burung bertenggek atau bersarang dalam jumlah berlebihan.
Menurut Sabin, usaha ini bukan sahaja penting dalam konteks pengurusan hidupan liar bandar, malah selari dengan matlamat Sustainable Development Goals (SDGs), terutamanya SDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan, SDG 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan, serta SDG 15: Kehidupan di Darat.
Beliau berkata pendekatan ini bertujuan mengekalkan keseimbangan ekosistem bandar tanpa merosakkan habitat hidupan liar, sejajar dengan komitmen memelihara biodiversiti.
Tambahnya lagi, kempen ini turut mengutamakan kerjasama pintar antara DBKK, sektor swasta dan masyarakat bagi memastikan keberhasilan inisiatif ini, selaras dengan usaha di bawah Program Local Agenda 21.
“Kita semua mempunyai peranan dalam memastikan bandaraya kita kekal dalam keseimbangan, di mana kemajuan dan pemeliharaan alam semula jadi berjalan seiring demi memastikan kehidupan yang sihat dan mampan untuk semua.
“Marilah kita bekerjasama untuk mewujudkan bandaraya yang sihat, mesra alam, selamat dan menarik untuk pelancong. Dengan kerjasama semua pihak, kita pasti akan dapat mencipta masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang,” katanya.