Inanam : Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meneruskan komitmen dalam menjaga kebajikan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang berdepan musibah dengan menyalurkan sumbangan kepada seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Sumbangan berupa wang tunai sebanyak RM3,000 itu disampaikan kepada Liyana Yatie Jasmin yang merupakan pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Komunikasi di UMS yang terjejas akibat kebakaran di Kampung Tatahan Inanam Rabu lalu.
Penyerahan sumbangan melalui Yayasan Perkasa Siswa (YPS) itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud.
Selain sumbangan wang tunai, Liyana turut menerima bantuan kebajikan serta bakul makanan daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), UMS bagi meringankan beban yang ditanggung.
Mustapha berkata, selain menyampaikan sumbangan kepada Liyana, kunjungan itu juga antara lain turut memberikan sokongan moral kepada pelajar berkenaan.
“Semoga segala bantuan yang disampaikan dapat meringankan beban dan menjadi inspirasi buat kita semua untuk terus menyemai semangat ihsan dalam masyarakat.
“Saya mendoakan agar keluarga mangsa terus diberikan kekuatan, ketabahan dan dipermudahkan segala urusan,” katanya. – SABAH MEDIA