Oleh Normimie Diun
TUARAN: Ketua Menteri merangkap Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Hajiji Noor mengingatkan semua ahli parti supaya mengutamakan kepentingan parti dan tidak melakukan sabotaj sekiranya tidak dicalonkan dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah akan datang.
Beliau menegaskan, sebarang keputusan yang dibuat oleh parti perlu diterima dengan hati terbuka dan setiap ahli perlu bekerja keras untuk memenangkan calon yang dipilih.
“Saya berharap kepada ahli-ahli parti kita, apabila keputusan sudah dibuat, mereka mesti kerja kuat tanpa memikirkan kepentingan peribadi atau ketidakpuasan hati. Keutamaan mesti diberikan kepada parti,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Jentera Penerangan Gagasan Rakyat dan Jamuan Hari Raya Aidilfitri di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama Sabah di sini, hari ini.
Mengulas mengenai cabaran yang perlu ditangani menjelang pilihan raya, Hajiji yang Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata antara fokus utama adalah memerangi fitnah dan pembohongan yang semakin berleluasa di media sosial.
“Jentera penerangan parti mesti fokus untuk menjelaskan kepada rakyat apa yang kerajaan telah lakukan. Jika tidak dijelaskan, rakyat mungkin terpengaruh dengan fitnah dan pembohongan pihak tertentu,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji memaklumkan bahawa rundingan dalaman parti sedang berjalan sebelum berbincang dengan rakan kerjasama lain bagi menghadapi pilihan raya.
“Kita adalah kerajaan negeri hari ini, jadi kita akan tentukan siapakah rakan kerjasama kita. Ini mesti jelas kerana ada juga parti-parti lain yang melobi untuk mendapatkan banyak kerusi,” katanya.
Ditanya mengenai persediaan jentera pilihan raya, Hajiji berkata, Gagasan Rakyat kini sudah bersedia sepenuhnya, dengan jentera di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) telah pun ditubuhkan.
“Kita sudah sedia sekarang ini. Gerakan pun sudah dimulakan,” tegasnya.