HomeUtamaDapatkan nasihat guru, pilih laluan pengajian sesuai pasaran kerja

Dapatkan nasihat guru, pilih laluan pengajian sesuai pasaran kerja

Read Time:1 Minute, 32 Second

Kota Kinabalu : Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disaran untuk mendapatkan nasihat atau bimbingan daripada guru-guru sebelum membuat permohonan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/S).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pandangan guru penting bagi memastikan pelajar memilih laluan pengajian yang selari dengan keperluan pasaran kerja, termasuk bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Saya berharap pelajar yang ingin melanjutkan pengajian ke IPTA/S dapat merujuk kepada guru masing-masing untuk mendapatkan nasihat.

“Guru-guru ini akan membantu mencadangkan pilihan terbaik yang sesuai dengan kehendak negeri ataupun negara serta pasaran kerja, termasuk bidang TVET,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media sempena Majlis Ramah Mesra Rumah Terbuka Bersama Menteri KSTI, di sini pada Isnin.

Arifin yang juga Exco Pendidikan dan Agama berkata, pelajar yang mendapat tempat di IPTA/S digesa untuk memohon bantuan kewangan melalui pelbagai skim yang disediakan kerajaan negeri.

“Saya menyeru mereka untuk memohon Bantuan BUDI bagi golongan B40, iaitu sebanyak RM1,500 bagi peringkat diploma dan RM2,000 bagi peringkat ijazah.

“Selain itu, pelajar juga boleh memohon dermasiswa Yayasan Sabah, biasiswa Kerajaan Negeri serta tabung pendidikan lain yang disediakan di negeri ini,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan negeri komited menyediakan lebih banyak peruntukan untuk menaja anak-anak Sabah menerusi pelbagai inisiatif dermasiswa, biasiswa dan bantuan pendidikan lain.

“Dengan adanya pelbagai bantuan ini, tiada alasan bagi anak-anak golongan B40 dan E-Kasih untuk tidak melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Arifin berkata, terdapat portal yang diwujudkan bersama Kerajaan Negeri Sabah, Yayasan Sabah, Tabung Pendidikan Negeri, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan tugas-tugas Khas KSTI bagi menyelaras pemberian bantuan pendidikan kepada anak-anak Sabah.

Turut hadir, Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Harun Durabi serta Setiausaha Tetap KSTI Sabah, Datuk Md. Hanafiah Md. Kassim.

RELATED ARTICLES
Utama

GRS wajar ketuai PRN Sabah – Hajiji Noor

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular