Tambunan: Sambutan Pesta Kaamatan bukan sekadar pesta menuai, tetapi simbol perpaduan dan keharmonian rakyat Sabah yang berbilang kaum, agama dan budaya.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kaamatan merupakan saat istimewa untuk menzahirkan rasa syukur atas hasil tuaian yang melimpah, sambil mengukuhkan silaturahim sesama rakyat negeri ini.
“Lebih daripada itu, Kaamatan juga adalah cerminan keharmonian dan semangat muhibah dalam kalangan rakyat Sabah.
“Ini adalah selaras dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan nilai kemanusiaan, saling menghormati dan kebersamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pesta Kaamatan 2025 di Dewan Terbuka Pisompuruan di sini hari ini.
Hajiji berkata, tema Pesta Kaamatan tahun ini ‘Kaamatan Untuk Semua, Kaamatan For All, Kaamatan Montok Toinsanan’ membawa mesej yang sangat mendalam dan inklusif.
“Ia menekankan bahawa Pesta Kaamatan bukan hanya milik satu komuniti, tetapi satu perayaan bersama yang merangkul semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.
“Kaamatan kini bukan hanya pesta menuai. Ia menjadi lambang penyatuan rakyat, satu ruang untuk kita saling mengenali, menghormati, dan meraikan keunikan budaya masing- masing.
“Tema ini juga mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk menyatukan rakyat Sabah dari pelbagai lapisan masyarakat bagi meraikan warisan budaya kita yang kaya dan pelbagai,” katanya. – SABAH MEDIA