KOTA KINABALU:Seorang wanita warga emas dan anak lelakinya terselamat selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas sendiri sebelum terjunam ke dalam kolam kumbahan di Jalan Loji, Taman Kingfisher, di sini pagi tadi.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Timbalan Penguasa Bomba II Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 8.28 pagi melalui talian MERS999.
”Setibanya di lokasi pada jam 8.36 pagi, pihak bomba mendapati sebuah kereta jenis Perodua Viva telah terbabas dan terjatuh ke dalam kolam kumbahan loji berkenaan. Dua mangsa dilaporkan tersepit di dalam kenderaan.
”Bagaimanapun, kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan penyelamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Agustavia berkata, menurut saksi, beberapa individu yang kebetulan melalui kawasan itu menggunakan sebatang kayu yang terdapat di lokasi untuk membantu mangsa keluar dari kenderaan.
“Mangsa wanita warga emas, 79, berjaya keluar melalui pintu belakang dan berpaut pada kayu yang dihulurkan, manakala anak lelakinya berusia 49 tahun yang memandu kenderaan tersebut keluar melalui tingkap bahagian pemandu. Kedua-dua mangsa dilaporkan selamat dan berjaya ditenangkan oleh orang awam sebelum diserahkan kepada pasukan bomba dan perubatan untuk pemeriksaan lanjut.
“Difahamkan, salah seorang individu yang membantu menyelamat turut dikenalpasti sebagai anggota Balai Bomba dan Penyelamat Lintas, Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Hasrulnizam Md Zain, yang kebetulan berada di lokasi ketika kejadian walaupun sedang bercuti,” ujarnya,
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.54 pagi setelah pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di kawasan kejadian.