HomeUtamaKunjungan hormat Bureau Veritas Malaysia perkukuh perbincangan strategik tenaga Sabah

Kunjungan hormat Bureau Veritas Malaysia perkukuh perbincangan strategik tenaga Sabah

Read Time:1 Minute, 36 Second

KOTA KINABALU: Penasihat Teknikal (Tenaga) kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr. James Lim menerima kunjungan hormat daripada delegasi Bureau Veritas Malaysia di Bilik Mesyuarat Pejabat Ketua Menteri, Menara Kinabalu di sini, pada 25 April lalu.

Pertemuan itu membuka ruang kepada perbincangan kerjasama strategik dalam pembangunan sektor tenaga negeri, termasuk tenaga boleh diperbaharui, pematuhan infrastruktur minyak dan gas, serta amalan tenaga mampan sejajar dengan hala tuju pembangunan hijau Sabah.

Delegasi Bureau Veritas diketuai Ketua Jabatan Pembangunan Perniagaan, Mustafa Kamal Muda, yang turut berkongsi kepakaran organisasi itu dalam bidang jaminan kualiti, pematuhan piawaian keselamatan dan kesihatan pekerjaan, serta kelestarian alam sekitar.

Dalam sesi perbincangan tersebut, Dr. James turut menekankan kepentingan penerapan Measurement and Verification International Protocol (MVIP), atau Protokol Antarabangsa Pengukuran dan Pengesahan, dalam menilai dan mengesahkan penjimatan tenaga secara telus dan berwibawa.

“Pematuhan terhadap MVIP memastikan penjimatan tenaga boleh diukur, dilaporkan dan disahkan. Ini adalah faktor utama dalam membina keyakinan terhadap usaha kelestarian. Sudah tiba masanya industri tenaga di Sabah mematuhi MVIP ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk makluman, MVIP merupakan rangka kerja piawaian global di bawah International Performance Measurement and Verification Protocol (IPMVP), yang digunakan secara meluas untuk menilai prestasi projek tenaga secara telus dan sistematik.

Bureau Veritas dalam kunjungan itu turut menyatakan komitmen mereka untuk menyokong aspirasi tenaga Sabah melalui penyediaan kepakaran teknikal, perkhidmatan pensijilan serta penyelesaian inovatif yang disesuaikan dengan keperluan tempatan.

Perbincangan turut menyentuh kemungkinan pelaksanaan program latihan dan pembangunan kapasiti tenaga kerja tempatan bagi memperkasa kemahiran berkaitan teknologi tenaga baharu dan amalan terbaik antarabangsa.

Pertemuan ini dilihat sebagai langkah positif ke arah memperkukuh sinergi antara sektor awam dan swasta dalam pembangunan sektor tenaga Sabah, selaras dengan agenda ekonomi dan kelestarian negeri.

Bureau Veritas merupakan peneraju global dalam perkhidmatan ujian makmal, pemeriksaan dan pensijilan, dengan kehadiran di lebih 140 negara dalam pelbagai sektor termasuk tenaga, infrastruktur dan industri marin. Organisasi ini komited terhadap usaha membentuk dunia yang lebih dipercayai menerusi pematuhan, keselamatan dan prestasi.

RELATED ARTICLES
Utama

Kehadiran pelancong ke Sabah terus meningkat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular