Lahad Datu : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan sebuah kapal nelayan tempatan (VNT) selepas didapati gagal mematuhi peraturan yang mewajibkan semua pertukaran nakhoda dilaporkan secara rasmi.
Kapal berkenaan ditahan dalam rondaan operasi di sekitar perairan Kampung Bakapit, Lahad Datu semalam.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, Maritim Malaysia memandang serius terhadap ketidakpatuhan seperti itu kerana ia berkait rapat dengan keselamatan navigasi dan kawalan terhadap aktiviti perikanan tempatan.
“Mana-mana pertukaran nakhoda wajib dimaklumkan untuk memastikan lesen dan kelayakan individu yang mengemudi bot adalah sah dan diiktiraf,” katanya.
Dzulfikhar berkata, bot berkenaan telah diiringi ke Jeti Perikanan Lahad Datu dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia Zon Maritim Lahad Datu untuk siasatan lanjut.
Katanya, nilai tangkapan dianggarkan bernilai RM300,000.
Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 (Kesalahan Bot Kecil Sabah 2008) berkaitan kesalahan gagal memaklumkan pertukaran nakhoda.
“Orang ramai boleh menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah atau insiden di laut kepada Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu melalui aplikasi WhatsApp di talian 016- 9305727 atau menghubungi talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA