Oleh Siti Azizah Talata
TAWAU: Program MADANI Rakyat (PMR) yang berlangsung di Dataran Majlis Perbandaran Tawau dijangka menarik kehadiran kira-kira 100,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya bermula hari ini, dengan sasaran nilai jualan sebanyak RM1 juta dan padanan niaga mencecah RM1.5 juta.
Menawarkan pelbagai aktiviti kepada pengunjung, PMR kali ini menyediakan lebih 200 jenis barangan jualan dengan potongan harga sehingga 30 peratus.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, program anjuran Kerajaan MADANI ini mampu memberi manfaat besar kepada rakyat negeri ini, khususnya di daerah Tawau dan kawasan sekitarnya.
Menurut beliau, PMR juga dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan kesejahteraan rakyat melalui penyampaian perkhidmatan awam secara langsung, khususnya kepada komuniti di Pantai Timur Sabah.
“Saya amat berpuas hati dengan persiapan yang telah dijalankan. Saya yakin dengan persiapan rapi oleh semua kementerian dan agensi terlibat, program ini akan berjalan lancar dan berjaya memberikan perkhidmatan terbaik kepada para pengunjung,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan persediaan akhir PMR 2025 di tapak program malam tadi.
Turut hadir dalam tinjauan tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, timbalan-timbalan ketua setiausaha, pegawai kanan kementerian serta wakil Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi Pejabat Perdana Menteri (PACU).
Ewon berkata, PMR 2025 akan menghimpunkan 36 reruai kementerian dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan serta menyediakan sebanyak 204 perkhidmatan touchpoint rakyat.
“Selain jualan dan pameran, program ini turut menawarkan khidmat nasihat daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, memberi peluang kepada rakyat untuk berurusan secara langsung tanpa perlu ke pejabat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan kehadiran penduduk Tawau, kawasan berhampiran serta rakyat Sabah secara amnya untuk menghadiri program ini dan merebut peluang yang ditawarkan melalui pelbagai perkhidmatan dan pameran yang disediakan.
Katanya, PMR 2025 merupakan sebahagian daripada inisiatif MADANI yang bertujuan merapatkan hubungan antara kerajaan dan rakyat serta memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan dapat diakses secara inklusif oleh semua lapisan masyarakat.
Program MADANI Rakyat PMR 2025 Sabah merupakan inisiatif berteraskan rakyat yang dianjurkan oleh Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) selaku kementerian peneraju, dan akan berlangsung dari 9 hingga 11 Mei 2025.
Program ini merupakan gerakan nasional untuk memperkasakan rakyat dan mengurangkan kemiskinan melalui keusahawanan berteraskan nilai-nilai Malaysia MADANI seperti kelestarian, hormat, inovasi, kesejahteraan dan keyakinan.
Inisiatif ini menyatukan kementerian persekutuan, agensi negeri, dan usahawan akar umbi bagi menyampaikan perkhidmatan serta peluang secara langsung kepada masyarakat.