Kota Kinabalu : Pelajar lepasan universiti digalakkan untuk meneroka peluang pekerjaan sendiri dalam bidang keusahawanan dan pertanian sejajar dengan usaha negara memupuk generasi muda yang berdikari serta berdaya saing.
Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad Datuk Dr Yusof Yacob berkata, graduan perlu lebih proaktif mencipta peluang kerjaya berasaskan kemahiran dan ilmu yang dimiliki, khususnya dalam sektor yang berpotensi tinggi.
Katanya, ia termasuklah pertanian moden dan keusahawanan berasaskan perniagaan digital.
“Sudah tiba masanya graduan mengubah persepsi bahawa kerjaya hanya bermaksud pekerjaan makan gaji. Dengan ilmu dan sokongan yang tersedia, ramai mampu membina perniagaan sendiri serta membuka peluang pekerjaan kepada orang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Mini Kaamatan dan Penyerahan Kereta UNITAR Kota Kinabalu, di sini pada Rabu.
Hadir sama, Ketua Eksekutif merangkap Pengarah Pusat UNITAR Kota Kinabalu Vanessa Faye George dan Presiden Kelab Rotary Pearl Kota Kinabalu Cenderamata Sinteh.
Dr Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin berkata, sektor pertanian kini semakin berkembang melalui penggunaan teknologi pintar dan kaedah moden yang mampu menjana pendapatan tinggi jika diurus secara profesional.
Katanya, begitu juga bidang keusahawanan yang menyediakan peluang menjana pendapatan melalui pelbagai sektor dan telah terbukti mampu melahirkan usahawan berjaya.
Justeru, beliau menggesa graduan agar tidak memandang rendah terhadap potensi kerjaya dalam bidang tersebut.
Dalam pada itu, Dr Yusof berkata, dalam usaha menyokong aspirasi ini, pelbagai program kerajaan seperti Agropreneur Muda, Program Inkubator Keusahawanan Siswazah, serta geran permulaan telah disediakan bagi membantu graduan memulakan perniagaan dan projek pertanian berskala kecil hingga sederhana.
Beliau turut menyeru institusi pengajian tinggi agar terus memperkukuh elemen keusahawanan dalam kurikulum serta memperluas kerjasama industri bagi memastikan graduan lebih bersedia menghadapi cabaran pasaran kerja.
“Dengan kadar pengangguran siswazah yang masih menjadi kebimbangan, penerokaan kerjaya dalam keusahawanan dan pertanian dilihat sebagai langkah strategik untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga berdaya cipta dan berjiwa usahawan,” katanya. – SABAH MEDIA