SANDAKAN: Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak di Sandakan menetapkan 20 Jun ini bagi sebutan permohonan pelaksanaan melibatkan tindakan jualan harta tak alih dalam satu kes saman sivil yang difailkan oleh Tan Su Haw terhadap seorang ahli perniagaan.
Permohonan tersebut difailkan menerusi Notis Permohonan bertarikh 8 April 2025, berhubung penjualan keseluruhan pegangan tanah di bawah hak milik PL.076221086.
Menurut kenyataan daripada Tetuan Chee & Co., semua pihak yang berkaitan diarahkan hadir di hadapan Pendaftar atau Hakim Mahkamah Tinggi Sandakan pada 20 Jun 2025 (Jumaat), jam 9.00 pagi bagi mendengar sebutan kes berkenaan.
Mahkamah turut memerintahkan agar penyampaian notis permohonan dibuat menerusi penyiaran iklan rasmi di media sebagai ganti penyampaian secara peribadi.
Sekiranya ahli perniagaan terbabit gagal hadir pada tarikh yang ditetapkan, penghakiman boleh diberikan terhadapnya tanpa kehadiran beliau.