Kota Kinabalu: Penekanan khusus perlu diberikan kepada subjek berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang dilihat amat penting dalam sistem pendidikan di negara ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, negeri ini khususnya memerlukan lebih ramai individu yang mempunyai kemahiran dalam bidang STEM bagi menghadapi cabaran masa depan.
“Sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, merangkap Exco Agama dan Pendidikan, saya sangat menghargai peranan pendidikan sains dan teknologi dalam membangunkan negara.

“Saya berharap agar setiap guru sains dan matematik akan terus bersemangat dan kreatif dalam menyampaikan ilmu ini kepada pelajar, kerana merekalah yang akan menjadi peneraju kepada inovasi dan pembangunan negara di masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Guru Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) peringkat negeri di Dewan Saadah Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) di sini pada Rabu.
Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslam Muharam.

Arifin berkata, beliau turut mengingatkan bahawa setiap langkah dalam memastikan pendidikan berkualiti juga mesti disertai dengan nilai-nilai murni.
Katanya, pendidikan bukan hanya tentang menguasai ilmu, tetapi juga tentang membentuk sahsiah dan keperibadian.
“Oleh itu, saya berharap agar semua guru terus menjadi teladan yang baik kepada pelajar-pelajar, mendidik mereka dengan kasih sayang, dan menerapkan nilai-nilai murni dalam setiap interaksi. Dengan itu, kita akan dapat melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga bertanggungjawab dan berakhlak,” katanya. – SABAH MEDIA