HomeUtamaLelaki mengaku bersalah lakukan amang seksual terhadap anak perempuan

Lelaki mengaku bersalah lakukan amang seksual terhadap anak perempuan

Read Time:59 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak perempuannya yang berusia 13 tahun.

Tertuduh berusia 51 tahun melakukan kesalahan itu pada 18 Disember 2024 di sebuah rumah di sebuah kampung dalam daerah Menumbok, Beaufort.

Hakim Marlina Ibrahim bagaimanapun menangguhkan hukuman pada 5 June ini dan memerintahkan tertuduh ditahan reman sementara menunggu kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan tarikh yang sama bagi fakta kes dibacakan terhadap tertuduh.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Disebabkan hubungan tertuduh dengan mangsa, hukuman tambahan dikenakan di bawah Seksyen 16(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan sekurang-kurangnya dua sebatan.

Lelaki itu memohon untuk dijamin, namun mahkamah tidak membenarkannya.

Terdahulu, pihak pendakwaan membantah permohonan jaminan terhadap lelaki itu dengan alasan mereka tinggal serumah.

Namun, sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan dua penjamin tempatan serta syarat melaporkan diri ke balai polis sekali sebulan.

Timbalan Pendakwa Raya, Afiqah Alya, mewakili pihak pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki terlepas hukuman mati, digantikan dengan penjara seumur hidup

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular