Oleh Normimie Diun
PUTATAN: Sebanyak 30 ekor lembu korban disumbangkan oleh Pejabat Parlimen Putatan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini, untuk diagihkan kepada masjid, surau dan jabatan berkaitan di kawasan Parlimen itu.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, sumbangan tersebut bertujuan membantu masjid dan surau mengimarahkan ibadah korban serta meringankan beban golongan memerlukan.
“Pada tahun ini, Pejabat Parlimen Putatan menyumbangkan sebanyak 30 ekor lembu untuk diagihkan kepada beberapa masjid, surau serta jabatan-jabatan berkaitan dalam kawasan Parlimen Putatan.
“Kita berharap sumbangan ini dapat membantu masjid dan surau menghidupkan ibadah korban sepenuhnya sempena Aidiladha kali ini,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan majlis penyerahan lembu korban di perkarangan Pejabat Daerah Putatan, hari ini.
Shahelmey turut mengingatkan jawatankuasa masjid dan surau agar memastikan daging korban diagihkan secara adil kepada golongan asnaf dan penduduk yang memerlukan di sekitar kawasan masing-masing.
“Saya sempat berpesan kepada jawatankuasa masjid dan surau supaya agihan daging korban nanti diberikan kepada golongan asnaf di persekitaran mereka,” katanya.
Program sumbangan itu merupakan inisiatif tahunan Parlimen Putatan dalam menyantuni masyarakat sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.