Sipitang: Penganjuran pelbagai jenis kejohanan sukan di daerah ini mampu dan berupaya menggalakkan aktiviti ekonomi penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob berkata, beliau juga mahu lebih banyak kejohanan seumpama itu dilaksanakan di Sipitang.
Katanya, kehadiran peserta dari luar akan memberi menjana pendapatan khususnya kepada pengusaha makanan dan pusat penginapan.
“Ini akan meningkatkan ekonomi setempat dan mempelbagaikan lagi tarikan pengunjung ke daerah Sipitang,” katanya ketika merasmikan Liga Memanah Tradisional Borneo 2025 di Kompleks Sukan Sipitang di sini pada Ahad.
Kejohanan tiga hari itu disertai 300 pemanah tradisional Dari Sabah, Sarawak, Labuan, Indonesia Dan Brunei Darussalam.
Persatuan Memanah Tradisional Sipitang menjuarai kategori keseluruhan dan Pasukan Sabah menjadi juara Piala Pusingan Liga.
Dr Yusof yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad berkata, pada masa sama, penganjuran kejohanan sukan dapat memperkenalkan Sipitang yang istimewa dengan lokasinya berhampiran Sarawak, Brunei Darussalam, Indonesia dan Labuan.
Katanya, usaha berterusan ini penting bagi memastikan aktiviti ekonomi daerah Sipitang berkembang menerusi pelbagai aktiviti selain impak dari Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).
Dalam pada itu, beliau yakin penganjuran kejohanan memanah ini dapat mengeratkan hubungan silaturrahim kalangan peminat sukan itu di Borneo.
Katanya, sukan memanah tradisional ini antara sukan yang diminati di Sipitang sehingga tertubuhnya Persatuan Memanah Tradisional Sipitang.
Justeru, Dr Yusof mahu belia-belia melihat dan mengambil peluang ini dan keterlibatan mereka dalam aktiviti sukan serta ekonomi di daerah ini. – SABAH MEDIA