Sook : Penganjuran Program Suntikan Masyarakat Madani menjadi platform terbaik bagi merapatkan jurang perbezaan dan menyemarakkan nilai saling menghormati.
Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin berkata, nilai itu menjadi asas kepada kekuatan masyarakat majmuk di negara ini khususnya di Sabah.
“Dalam konteks masyarakat majmuk yang hidup dalam kepelbagaian budaya, agama dan bangsa, saya percaya bahawa kekuatan kita terletak pada sikap saling hormat-menghormati dan bekerjasama demi kebaikan kita bersama.
“Program seperti ini mencerminkan semangat perpaduan yang telah lama kita jalinkan, yang mana seluruh masyarakat tanpa mengira latar belakang dapat hidup bersama dengan aman dan damai, saling menyokong dan membangun secara harmoni,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada merasmika Program Suntikan Kasih Masyarakat Madani daerah Keningau di sini pada Ahad.
Ellron yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook berkata, penganjuran program itu juga bertujuan bagi meningkatkan lagi kesedaran terhadap perpaduan kampung, serta memperkukuhkan hubungan sesama masyarakat.
Katanya, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti yang terlibat, malah memberi impak positif kepada keharmonian keseluruhan kampung dan daerah.
“Tidak ada kejayaan yang mudah dicapai melainkan melalui perjuangan yang berterusan. Program ini juga menjadi landasan kearah perpaduan, menjalinkan sifat hormat-menghormati dan semangat kerjasama yang tinggi.
“Matlamat akhirnya nanti adalah untuk membentuk sebuah masyarakat dan warganegara yang berjiwa kental, patriotik dan saling berkasih sayang. – SABAH MEDIA