Oleh Normimie Diun
PUTATAN: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) bersetuju untuk memberikan laporan paras air di tangki R13 setiap jam kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS), bagi membolehkan pihak universiti menyusun jadual operasi pengepaman air ke dalam kampus dengan lebih berkesan.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, langkah itu dicapai hasil perbincangan dan lawatan beliau ke UMS baru-baru ini susulan aduan berkaitan gangguan bekalan air.
“Semasa lawatan saya ke UMS dua minggu lalu, pihak Jabatan Air memaklumkan bahawa bekalan air mencukupi, namun pihak UMS menyatakan sebaliknya. Hasil lawatan dan mesyuarat bersama, kedua-dua pihak bersetuju bahawa air yang masuk ke tangki R13 adalah mencukupi,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Lembu Korban sempena Hari Raya Aidiladha Parlimen Putatan di sini, hari ini.
Menurutnya, kekeliruan timbul kerana indikator paras air di tangki berkenaan tidak berfungsi, sekali gus menyukarkan UMS mengatur operasi pam secara efektif.
“Jabatan Air maklumkan indikator baharu telah dipesan dan dijangka sampai dalam tempoh satu hingga dua minggu. Saya akan turun padang sekali lagi untuk pastikan tiada lagi salah faham atau kelemahan koordinasi,” katanya.
Shahelmey turut meminta Jabatan Air menyimpan rekod harian bekalan air ke tangki R13, khususnya sepanjang Mei.
“Berdasarkan rekod sejak 19 Mei hingga semalam, jumlah air yang dibekalkan ke tangki adalah mencukupi, malah lebih daripada mencukupi. Cuma antara 14 hingga 19 Mei, salah satu pam milik UMS rosak dan hanya satu pam yang beroperasi, menyebabkan jumlah air yang dipam ke dalam kampus berkurangan,” jelasnya.
Mengulas dakwaan sebilangan pelajar UMS yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Jabatan Air kerana didakwa mengeluarkan kenyataan palsu, Shahelmey menyifatkannya sebagai pandangan pemimpin pelajar yang mungkin bersifat kritikal terhadap kerajaan.
“Yang penting sekarang ialah kerjasama antara Jabatan Air dan UMS ditingkatkan, lebih-lebih lagi kerana pelajar-pelajar asasi dan Sarjana Muda akan menghadapi peperiksaan bulan ini. Kita tidak mahu pembelajaran mereka terganggu akibat isu bekalan air,” katanya.