Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 21 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah merogol anak tirinya.
Hakim Elsie Primus menjatuhkan hukuman itu terhadap lelaki berusia 46 tahun selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.
Lelaki itu didapati bersalah merogol anak tirinya yang berusia 11 tahun pada jam 1.57 petang, 30 Disember 2021, di sebuah rumah di Inanam.
Dia disabitkan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lapan hingga 30 tahun dan sebatan tidak kurang daripada 10 kali.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh sabitan, namun permohonan lelaki itu untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman dibenarkan.
Mahkamah turut mengarahkan lelaki itu diletakkan di bawah pengawasan polis selama tiga tahun serta menjalani sesi kaunseling pemulihan sepanjang tempoh tahanan.
Semasa perbicaraan, tujuh saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan.
Peguam Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip yang baru dilantik oleh tertuduh pada hari keputusan, merayu agar mahkamah menjatuhkan hukuman minimum dengan alasan ia merupakan kesalahan pertama lelaki itu.
Menurut Nurul, lelaki berkenaan telah memohon maaf kepada anak tiri serta ahli keluarganya, selain tetap melaksanakan tanggungjawab menyara isteri dan mangsa.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shafeerah Mad Iskim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh.
Nurul Shafeerah berkata tertuduh telah membuang masa mahkamah kerana perbicaraan berlarutan begitu lama dan saksi-saksi yang dibawa oleh tertuduh juga tidak relevan sekali gus melambatkan proses perbicaraan.
Nurul Shafeerah menambah, walaupun tertuduh telah memohon maaf, trauma yang dialami mangsa akan kekal menjadi sejarah hitam dalam hidupnya.
Beliau menegaskan bahawa hukuman berat perlu dikenakan sebagai pengajaran dan pencegahan kerana undang-undang harus melindungi kanak-kanak daripada sebarang bentuk jenayah seksual.
“Undang-undang diwujudkan untuk melindungi kanak-kanak bawah umur 16 tahun daripada eksploitasi seksual oleh individu berpengaruh ke atas mereka atau mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mangsa, sebab itu Seksyen 376(3) memperuntukkan hukuman minimum penjara lapan tahun,” jelasnya.