Oleh: Wan Azrain Adnan | 19 Jun 2025
Malaysia terus menerima jumlah pelaburan yang besar. Ini membuktikan para pelabur domestik dan asing terus konfiden dengan suasana perniagaan negara yang kondusif. Dalam bahasa mudah, pelabur yakin boleh membuat keuntungan dengan membuat pelaburan di Malaysia.
Pada minggu lepas, Malaysian Investment Development Authority (MIDA) telah mengumumkan bahawa jumlah pelaburan yang diluluskan bagi Suku Pertama 2025 adalah RM89.8 bilion, meningkat 3.7% berbanding tempoh sama tahun 2024. Daripada jumlah tersebut, pelaburan asing adalah RM60.4 bilion (67.3%), manakala pelaburan domestik adalah RM29.4 bilion (32.7%).
Secara keseluruhan, jumlah pelaburan tersebut merangkumi 1,556 projek di dalam pelbagai sektor ekonomi, dengan pewujudan 33,368 peluang pekerjaan baharu.

Dengan banyak peluang pekerjaan yang berjaya diwujudkan, kadar pengangguran negara akan kekal rendah. Bagi bulan April 2025, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pengangguran negara berada pada tahap 3.0%, iaitu tahap terendah dalam tempoh masa 10 tahun.
Daya tarikan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan yang menawan terserlah dengan peningkatan prestasi dalam laporan World Competitiveness Ranking 2025 (WCR 2025), yang diterbitkan oleh International Institute for Management Development (IMD). Semalam, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI) memaklumkan bahawa kedudukan Malaysia dalam WCR 2025 telah melonjak 11 tangga, dari 34 ke 23. Ini merupakan kedudukan terbaik negara dalam tempoh masa 5 tahun.
Fakta menarik, World Competitiveness Ranking diterbitkan oleh IMD sejak tahun 1989, bagi menilai tahap daya saing negara-negara terpilih di seluruh dunia. Bagi tahun 2025, ranking berkenaan melibatkan 69 negara.
KEDUDUKAN MALAYSIA DI DALAM ASEAN
Di kalangan negara-negara ASEAN, lonjakan prestasi Malaysia sebanyak 11 tangga adalah paling menyerlah tatkala banyak negara telah menurun: Singapura (menurun dari tangga 1 ke 2), Thailand (menurun dari 25 ke 30), Indonesia (menurun dari 27 ke 40) dan Filipina (meningkat dari 52 ke 51).
Namun begitu, prestasi Malaysia bercampur antara peningkatan dan penurunan bagi kesemua 4 faktor penilaian sepanjang tempoh masa 5 tahun (2021–2025):
- Economic Performance: meningkat dari tangga 15 ke 4
- Government Efficiency: meningkat dari tangga 30 ke 25
- Business Efficiency: menurun dari tangga 24 ke 32
- Infrastructure: menurun dari tangga 32 ke 35
Laporan WCR 2025 menunjukkan banyak perkara yang perlu ditambah baik bagi meningkatkan lagi tahap daya saing negara, di mana kedudukan negara masih rendah. Ini termasuklah perundangan perniagaan (business legislation), amalan pengurusan (management practices), kesihatan & alam sekitar (health & environment) dan pendidikan (education).
Perkembangan di Sabah
Bagi Sabah, jumlah pelaburan yang diterima bagi Suku Pertama 2025 adalah RM10.9 bilion, iaitu ke-3 tertinggi. Ini merangkumi 12% daripada keseluruhan jumlah pelaburan yang diluluskan negara (RM89.8 bilion).
Malah, sektor perkilangan Sabah (RM7.3 bilion) telah merekodkan jumlah pelaburan tertinggi di Malaysia. Jumlah pelaburan besar sektor perkilangan ini boleh mengulangi pencapaian pada tahun 2023, di mana sektor pembuatan Sabah (4.4%) telah merekodkan kadar pertumbuhan tertinggi di Malaysia.
Menurut Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, daripada jumlah pelaburan RM10.9 bilion tersebut, majoriti adalah pelaburan asing (RM6.6 bilion: 61%), dan pelaburan domestik (RM4.29 bilion: 39%).

Sebagai perbandingan, jumlah pelaburan RM10.9 bilion tersebut mengatasi jumlah pelaburan yang diterima Sabah (RM6.5 bilion) bagi keseluruhan tahun 2024. Peningkatan besar jumlah pelaburan jelas menggambarkan keyakinan pelabur, serta membuktikan kejayaan awal usaha Kerajaan Sabah menyediakan suasana pelaburan yang kondusif dengan menangani isu-isu legasi yang sekian lama membelenggu Sabah.
Dengan jumlah pelaburan yang besar tersebut, ini sudah pasti dapat merancakkan agenda pembangunan ekonomi Sabah, serta menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah dan seterusnya menangani kadar pengangguran yang tinggi di Sabah.
Tambahan lagi, kejayaan peningkatan pelaburan berkenaan disertai dengan pengiktirafan Sabah sebagai sebuah negeri yang cemerlang. Pada minggu lepas, Sabah telah terpilih sebagai Malaysia’s Most Outstanding State di bawah The IBR ASEAN Awards 2025 yang dianjurkan oleh International Business Review (IBR).
Pengiktirafan Sabah berkenaan adalah bersandarkan kepada kejayaan Kerajaan Sabah menerajui agenda pembangunan Sabah sambil menekankan kelestarian alam sekitar, antaranya: peningkatan pelaburan dan memperjuang hak Sabah sebagaimana peruntukan Perlembagaan Persekutuan.