Oleh Forieta Diet
KOTA KINABALU: Masyarakat perlu diberikan akses kepada maklumat yang sahih dan berwibawa, yang disampaikan dalam konteks yang betul, dan di sinilah media arus perdana memainkan peranan yang tidak boleh digantikan, tegas Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Mariah Doksil.
Mariah menekankan bahawa media arus perdana masih menjadi benteng utama dalam memastikan laporan yang adil, tepat dan seimbang, khususnya dalam menghadapi cabaran penyebaran berita palsu dan separuh benar yang semakin berleluasa di pelbagai platform media sosial.
“Dalam era digital ini, cabaran kita bukan sahaja menyesuaikan diri dengan teknologi baharu tetapi juga memastikan wartawan terus mengekalkan ketepatan fakta, jiwa dan empati dalam setiap laporan,” katanya ketika berucap di Majlis Kinabalu Press Awards (KPA) yang berlangsung semalam di Magellan, di sini.
Beliau turut mengingatkan agar wartawan tidak terlalu bergantung kepada kecerdasan buatan (AI) dalam penulisan berita kerana ia masih mempunyai had terutama apabila melibatkan topik kompleks.
Mariah turut berkongsi rancangan untuk meningkatkan nilai hadiah bagi setiap kategori dalam Kinabalu Press Awards pada tahun hadapan sebagai penghargaan lebih bermakna kepada para pemenang.
Selain itu, beliau menyeru agar Kerajaan Negeri mempertimbangkan cadangan Persatuan Wartawan Sabah untuk menjalin perkongsian pintar dengan organisasi media, termasuk melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC), bagi melestarikan industri media tempatan yang kini menghadapi pelbagai cabaran.
Pada kesempatan itu juga, Mariah mengucapkan tahniah kepada wartawan veteran, Datuk Emin Madi yang dianugerahkan Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK), serta 18 lagi pengamal media yang menerima darjah kebesaran negeri.
Majlis anugerah itu menerima sebanyak 268 penyertaan yang telah dinilai oleh panel juri profesional di bawah seliaan Malaysian Press Institute (MPI).
Dalam majlis itu, SJA mengiktiraf dedikasi dan sumbangan Chan Kang Yuan, 90, dalam bidang kewartawanan dengan menganugerahkan gelaran Tokoh Wartawan Sabah sebagai penghormatan atas pengorbanan dan profesionalisme beliau
Beliau telah berkhidmat selama enam dekad sejak era pemerintahan kolonial British di Borneo Utara hingga pembentukan Malaysia dan seterusnya. Bermula sebagai penulis salinan pada 1958, beliau pernah menjadi ketua editor beberapa akhbar utama termasuk Borneo Times, Sandakan Jit Pao, Merdeka Daily News, Sabah Shi Pao dan Asia Times sebelum bersara pada 2021.
Chan dikenang kerana keberaniannya mempertahankan laporan berita yang tepat dan beretika, termasuk semasa beliau ditahan 18 bulan di bawah ISA selepas rusuhan 13 Mei 1969 kerana melanggar penapisan berita.
Turut hadir Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai bagi mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Nor dan Penasihat SJA Datuk Muguntan Vanar.