Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Ops Kesan 4.0 bermula 1 Julai ini susulan pelaksanaan semakan semula kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, operasi tersebut akan memfokuskan pemantauan ke atas pergerakan harga barang dan perkhidmatan yang tidak berasas serta tidak berwajaran, selain menguatkuasakan Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan (AKHAP) 2011.
“Ops Kesan 4.0 menyasarkan syarikat yang tersenarai sebagai pengutip SST oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), termasuk pemantauan berdasarkan notifikasi kenaikan harga, aduan awam dan risikan pasaran oleh penguat kuasa,” katanya semasa sidang media pada sesi libat urus bersama Persatuan-Persatuan Peniaga Makanan dan Minuman Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya turut membuat persediaan awal seperti pengumpulan data harga, penetapan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan aduan serta mewujudkan pelbagai saluran rasmi untuk orang awam menyalurkan maklumat berhubung kenaikan harga mencurigakan.
Saluran aduan disediakan untuk membolehkan orang ramai mengemukakan sebarang maklumat kepada pihak kementerian melalui saluran-saluran berikut:
i. Pusat Arahan Penguatkuasaan: 03-8882 6245 / 6088
ii. WhatsApp: 012-665 4292
iii. Portal e-Aduan KPDN: http://eaduan.kpdn.gov.my
iv. Call Centre: 1-800-886-800
v. Aplikasi telefon pintar: Ez ADU KPDN
Katanya, individu yang disabitkan kesalahan mencatut boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya, manakala syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000.
Dalam pada itu, dua syarikat iaitu pengeluar ais dan jenama Ramlee Burger akan dipanggil esok ke KPDN susulan laporan tular mengenai kenaikan harga produk masing-masing. Pengeluar ais terbabit menafikan mengeluarkan notis harga blok ais dari RM3.70 kepada RM6 dan telah membuat laporan polis.
“Kita akan minta mereka beri penjelasan sama ada berlaku perubahan harga dan jika ada, apakah asasnya sama ada kos bahan mentah, kos operasi atau disebabkan SST. Sekiranya tidak berasas, tindakan akan diambil di bawah undang-undang sedia ada,” katanya.