Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Para peniaga mikro dan kecil sektor makanan dan minuman tidak perlu khuatir dengan pelaksanaan Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 (PPKB) kerana kerajaan memberi jaminan mereka akan terus menikmati subsidi gas petroleum cecair (LPG).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sesi libat urus bersama persatuan-persatuan peniaga makanan dan minuman sedang diadakan di seluruh negara, termasuk Sabah, bagi mendapatkan pandangan dan syor ke arah pelaksanaan pindaan PPKB secara menyeluruh dan inklusif.
“Walaupun PPKB 2021 menghadkan penggunaan silinder LPG bersubsidi kepada 42kg, pindaan kali ini mengambil kira keperluan praktikal peniaga kecil dan mikro. Mereka akan dibenarkan menggunakan lebih daripada 42kg pada satu-satu masa, asalkan mereka menjual makanan pada harga rakyat (harga wajar),” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media pada sesi libat urus program berkenaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.
Menurutnya, mekanisme kawalan akan dibangunkan bagi memastikan subsidi tidak disalahgunakan, termasuk aktiviti penyeludupan dan penyelewengan. Pandangan daripada persatuan akan diambil kira untuk menentukan kaedah terbaik pengurusan risiko.
“Kita tidak mahu subsidi rakyat ini dinikmati oleh premis yang menjual makanan pada harga gaya hidup, seperti nasi ayam RM25 atau nasi goreng RM30. Subsidi ini adalah untuk kos sara hidup, bukan kos gaya hidup,” tegas beliau.