Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Sebanyak 2,000 tiket akan diagihkan secara percuma kepada peminat bola sepak Sabah sempena perlawanan akhir kedua Piala Cabaran 2026 antara Sabah FC menentang Penang FC di Stadium Likas.
Menteri Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, tiket itu akan mula diagihkan bermula Sabtu ini sebagai tanda sokongan kepada pasukan The Rhinos.
Beliau berkata, agihan tiket itu akan diuruskan oleh pihak urus setia di pejabat Lembaga Sukan Negeri Sabah (LSNS), manakala maklumat lanjut berkaitan masa dan lokasi akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Sebagai sokongan saya khususnya kementerian ini yang bertanggungjawab terhadap pembangunan sukan, kita telah menyediakan 2,000 tiket percuma kepada peminat-peminat bola sepak di Sabah yang akan diagihkan secara ‘first come first serve’ pada Sabtu ini.
“Ini adalah usaha kementerian bagi menyemarakkan sokongan kepada Sabah FC selain menjadi suntikan semangat kepada pemain menjelang perlawanan akhir,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri Majlis Kesyukuran Aidilfitri di kementeriannya di sini pada Selasa.
Sabah FC sebelum ini mencatat keputusan seri 1-1 ketika aksi pertama menentang lawan di Stadium Bandaraya Pulau Pinang pada 4 April lalu.
Aksi timbal balik yang bakal menentukan kejuaraan akan berlangsung pada 19 April ini di Stadium Likas.
Nizam berkata, kejayaan Sabah FC mara ke final merupakan pencapaian membanggakan dan amat dinanti-nantikan oleh peminat bola sepak di negeri ini.
“Kita berharap pasukan Sabah FC dapat memberikan komitmen sepenuhnya dan seterusnya menghadiahkan kejuaraan kepada negeri ini, sekali gus menamatkan kemarau trofi yang sudah lama dinanti,” katanya.
Beliau turut menyeru penyokong agar hadir beramai-ramai memenuhi Stadium Likas bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor turut dijangka hadir menyaksikan perlawanan akhir tersebut.
Tambahnya, kerajaan negeri juga bersetuju untuk menyediakan insentif bonus kepada pasukan sekiranya Sabah FC berjaya muncul juara.
“Bonus kemenangan akan diberikan sebagai penghargaan kepada pemain sekiranya berjaya menjuarai final edisi 2026 ini,” katanya. – SABAH MEDIA



