Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Penglibatan murid dalam aktiviti sukan sejak usia muda mampu membantu membentuk disiplin diri, meningkatkan keyakinan serta melahirkan pelajar yang lebih berdaya saing pada masa depan.
Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Komuniti Sekolah Sabah (PIBKS), Datuk Mohammad Arif Sakaran berkata, penganjuran sukan termasuk kejohanan bola sepak berupaya memberi peluang kepada murid untuk menonjolkan bakat dan potensi masing-masing.
Beliau berkata, program seperti itu bukan sahaja memberi manfaat dari aspek kesihatan dan kecergasan, malah menjadi medium terbaik untuk membina sahsiah pelajar.
“Melalui kejohanan seperti ini, kita dapat melihat potensi dan bakat pelajar dalam bidang sukan. Ia juga menjadi platform untuk mereka mengembangkan kemahiran serta keyakinan diri sejak kecil.
“Selain itu, penglibatan dalam aktiviti sihat dapat membantu murid mengelakkan diri daripada gejala sosial kerana masa mereka diisi dengan perkara yang bermanfaat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Kejohanan Bola Sepak 12 tahun ke bawah Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Kota Kinabalu peringkat OK9 Tanjung Aru di sini pada Rabu.
Arif berkata, sukan juga mampu mendidik murid supaya lebih berdisiplin, mematuhi peraturan serta belajar bekerjasama dalam satu pasukan.
Beliau berkata, sekolah perlu terus memberi galakan kepada murid untuk aktif dalam kokurikulum kerana pembangunan pelajar tidak hanya tertumpu kepada akademik semata-mata.
Tambahnya, usaha memperkasakan bakat murid menerusi bidang sukan juga seiring dengan aspirasi pembangunan pendidikan negara dalam Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035.
“Kita mahu melahirkan murid yang seimbang dari segi akademik, sahsiah dan kokurikulum. Sebab itu program sukan seperti ini sangat penting untuk diteruskan,” katanya.
Kejohanan tersebut berlangsung meriah dengan penglibatan beberapa sekolah sekitar Zon OK9 Tanjung Aru serta mendapat sokongan daripada guru dan ibu bapa yang hadir memberi semangat kepada para peserta. – SABAH MEDIA



