KOTA KINABALU: Akademi Bola Sepak Jubilo secara rasmi dipilih untuk mengurus dan mewakili Sabah bagi kategori Bawah 16 Tahun ke Liga Remaja Kebangsaan (NFDP) B16 2026.
Pemilihan dan pelantikan rasmi itu disampaikan melalui Setiausaha Agung SAFA, Shamsuddin Mohd Shah, manakala majlis penyerahan turut disempurnakan bersama Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Belia SAFA di Kompleks Sukan Likas, di sini.
Bagi tujuan penyelarasan awal pasukan dan perancangan program pembangunan, satu kunjungan hormat turut diadakan delegasi Jubilo yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengurus Pasukan Jubilo, Saiful Azua @ Joe Golkhan.
Akademi Bola Sepak Jubilo dalam kenyataannya turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Belia SAFA, khususnya Pengarah Teknikal SAFA, Roney Asmadul Bakar, atas kerjasama, panduan dan sokongan dalam usaha memperkukuh pembangunan bola sepak belia di negeri ini.
Jubilo memulakan perjalanan sejak 2008 di Kota Belud sebagai Kelab Bola Sepak Jubilo sebelum melalui proses penjenamaan semula sebagai Akademi Bola Sepak Jubilo pada 2023, selepas lebih 15 tahun penglibatan aktif dalam pembangunan bola sepak akar umbi di Sabah.
Kini, akademi itu aktif membangunkan pemain muda kategori Bawah 8 hingga Bawah 16 tahun di beberapa daerah termasuk Kota Kinabalu, Tuaran, Papar, Kota Belud dan Kota Marudu dengan memberi fokus kepada pembangunan bakat, disiplin, pendidikan sukan serta laluan pembangunan pemain secara berstruktur.
Selain pembangunan akar umbi, Jubilo juga berjaya membantu melahirkan beberapa pemain yang melangkah ke peringkat lebih tinggi termasuk mewakili Sabah FC serta skuad kebangsaan wanita Malaysia.
Liga Remaja Kebangsaan (NFDP) B16 2026 dijadual berlangsung dari 27 November hingga 7 Disember ini di Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Gambang, Pahang, melibatkan wakil negeri dari seluruh Malaysia.
Bagi penyertaan NFDP 2026, pendekatan pemilihan pemain akan memberi fokus kepada pencarian bakat terbaik dari seluruh Sabah tanpa mengira akademi asal, selaras dengan semangat pembangunan bola sepak negeri secara bersama, inklusif dan berasaskan merit.
Sementara itu, Saiful Azua berkata, pelantikan itu merupakan satu penghormatan besar kepada seluruh keluarga Jubilo selepas lebih sedekad komited dalam pembangunan bola sepak akar umbi di Sabah.
“Ini bukan sahaja mengenai satu pasukan pertandingan, tetapi tentang memberi peluang kepada pemain muda Sabah untuk berkembang dalam persekitaran pembangunan yang lebih tersusun dan kompetitif.
“Kami berharap platform NFDP ini dapat membantu membuka lebih banyak laluan kepada bakat-bakat muda negeri,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Akademi Bola Sepak Jubilo, Nizam Salleh Keruak berkata, amanah yang diberikan oleh SAFA akan dipikul dengan penuh tanggungjawab demi masa depan bola sepak Sabah.
“Kami melihat tanggungjawab ini sebagai usaha bersama seluruh komuniti bola sepak Sabah. Fokus utama kami adalah pembangunan pemain muda, pembentukan karakter serta mewujudkan laluan pembangunan yang lebih inklusif dan mampan untuk generasi masa depan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Jubilo akan terus komited bekerjasama rapat dengan SAFA, jurulatih, akademi, ibu bapa serta komuniti bola sepak negeri bagi memperkukuh ekosistem pembangunan bola sepak akar umbi Sabah secara menyeluruh.



