KOTA KINABALU: Sabah FC mengumumkan kehadiran lima pemain import baharu bagi menguatkan lagi skuad menjelang saingan Liga Malaysia musim 2026/2027, sekali gus membuktikan kesungguhan kelab untuk tampil lebih kompetitif dalam perebutan kejuaraan musim ini.
Lima pemain yang menyertai Sang Badak ialah pemain tengah antarabangsa Filipina-Finland, Oskari Kekkonen, pertahanan dari Sepanyol Kike Lopez (Kadete), penyerang dari Korea Selatan Park Jungbin, penyerang dari Argentina Gonzalo Ignacio Di Renzo (Gonza) dan penjaga gol dari Argentina-Itali Juan Flere Pizzuti.
Kehadiran mereka dijangka memperkukuhkan setiap posisi utama pasukan, daripada benteng pertahanan, bahagian tengah, serangan sehingga ke posisi penjaga gol.

Oskari Kekkonen, 27, yang lahir di Kotka, Finland, menyertai Sabah FC selepas beraksi bersama Lamphun Warriors di Thailand dan pernah beraksi di beberapa negara di Eropah dan Asia selain mewakili skuad kebangsaan Filipina di peringkat bawah 23 tahun serta skuad senior.
Menurut Kekkonen, beliau memilih Sabah FC kerana percaya dengan visi dan cita-cita besar kelab itu untuk terus berkembang.
“Saya benar-benar dapat merasakan cita-cita kelab ini untuk terus berkembang dan membina sesuatu yang baharu. Bagi saya, Sabah FC sentiasa merupakan sebuah kelab besar dalam bola sepak Malaysia,” katanya.
Beliau turut mendedahkan pernah mendapatkan pandangan bekas pemain tengah Sabah FA, Hendrik Helmke, sebelum membuat keputusan menerima tawaran menyertai Sang Badak.
Sementara itu, Sabah FC turut memperkukuhkan benteng pertahanan menerusi kehadiran pemain Sepanyol, Kike Lopez atau lebih dikenali sebagai Kadete.

Pemain berketinggian 1.85 meter itu mampu beraksi sebagai pertahanan tengah atau pertahanan kiri, sekali gus memberikan lebih banyak pilihan kepada barisan kejurulatihan.
Kadete berkata, perpindahannya ke Sabah bukan sekadar untuk meneruskan karier bola sepak, malah bagi menikmati pengalaman baharu bersama sebuah kelab yang mempunyai sejarah panjang dalam arena bola sepak Malaysia.
Dalam masa sama, Sabah FC turut menambah sengat di bahagian serangan menerusi kehadiran Park Jungbin dari Korea Selatan.
Bekas pemain Visakha FC itu mampu beraksi sebagai penyerang tengah serta pemain tengah menyerang menggunakan kedua-dua belah kaki.
Park membawa pengalaman luas selepas pernah beraksi bersama beberapa kelab ternama di Eropah termasuk VfL Wolfsburg, Greuther Fürth, Karlsruher SC, Viborg FF, Hobro IK, Servette FC, Rodez AF serta FC Seoul.
Sabah FC turut memperkenalkan seorang lagi penyerang import, Gonzalo Ignacio Di Renzo atau Gonza dari Argentina.
Pemain berusia 30 tahun itu menyertai Sang Badak daripada CF Talavera de la Reina di Sepanyol.
Penyerang berketinggian 1.87 meter itu memiliki kewarganegaraan Argentina-Itali serta mampu beraksi sebagai penyerang utama, penyerang kedua dan pemain sayap.
Sepanjang kariernya, Gonza pernah beraksi di Argentina, Venezuela, Amerika Syarikat dan Sepanyol bersama beberapa kelab termasuk Lanús, Sarmiento, Patronato, Deportivo Lara, San Antonio FC, UD Lanzarote, Ourense CF dan CF Talavera de la Reina.
Di posisi terakhir, Sabah FC melengkapkan kuota import dengan membawa masuk penjaga gol Argentina-Itali, Juan Flere Pizzuti.

Pemain berusia 28 tahun itu tiba dari CE Europa di Sepanyol mempunyai pengalaman lebih 100 penampilan kompetitif dalam bola sepak Sepanyol selain pernah beraksi bersama CE Europa, Cádiz CF B, Algeciras CF, Atlético Sanluqueño CF serta membuat penampilan bersama Cádiz CF.
Beliau berkata, keputusan berhijrah ke Sabah dibuat kerana mahu mencari cabaran baharu di luar Sepanyol selain berpeluang mengenali budaya dan kehidupan masyarakat Malaysia.
“Saya memilih Sabah FC kerana ini merupakan satu cabaran yang cukup menarik buat saya. Saya juga mahukan peluang untuk tinggal di Malaysia, mengenali masyarakatnya dan mendalami budayanya,” katanya.



