HomeUtamaSUKMA XXII : Bidikan emas Sabah tamatkan kemarau dua dekad

SUKMA XXII : Bidikan emas Sabah tamatkan kemarau dua dekad

Read Time:2 Minute, 9 Second

SUBANG : Pasukan menembak Sabah memulakan cabaran pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 dengan penuh bergaya apabila menghadiahkan dua pingat emas dalam saingan yang berlangsung di Lapang Sasar Negara, Subang, pada Isnin.

Pingat emas pertama berjaya diraih menerusi acara 10 Meter Air Rifle Lelaki Berpasukan hasil persembahan mantap gandingan Yusezzany Jaidi, Dexter Dean Jonius dan Hanson Francis Chong.

Pemenang pingat emas 10 meter air rufle lelaki berpasukan

Ketiga-tiga atlet tersebut mempamerkan ketenangan serta ketepatan yang tinggi sepanjang pertandingan untuk menamatkan saingan di kedudukan teratas sekali gus mengesahkan status mereka sebagai juara.

Kejayaan kem menembak Sabah diteruskan apabila Nur Aina Natasya Anderson turut menyinar dalam acara 10 Meter Air Rifle Wanita Individu dengan merangkul pingat emas selepas menampilkan aksi cemerlang.

Nur Aina yang meraih emas 10 meter air rifle wanita individu

Pencapaian dua emas pada hari pertama pertandingan bukan sahaja menambah koleksi pingat Sabah, malah menjadi petanda positif terhadap kemampuan pasukan menembak negeri untuk terus mencabar dalam baki acara yang akan berlangsung sepanjang temasya SUKMA kali ini.

Pengurus pasukan menembak Sabah, Jeffrey Wong, mengakui kejayaan tersebut melangkaui jangkaan awal pasukan walaupun acara yang dipertandingkan pada hari pertama sememangnya mempunyai potensi untuk menghadiahkan pingat kepada Sabah.

“Memang kami meletakkan harapan dalam acara hari ini, tetapi sejujurnya kami tidak menjangkakan untuk meraih pingat emas. Saya sendiri masih sukar untuk menggambarkan perasaan ini kerana kejayaan ini amat bermakna buat seluruh pasukan,” katanya.

Menurut beliau, kejayaan tersebut lebih istimewa kerana menamatkan kemarau pingat emas yang telah berlarutan lebih dua dekad bagi sukan menembak Sabah di pentas SUKMA.

“Sudah lebih 20 tahun kami menunggu detik seperti ini. Ia satu pencapaian yang cukup membanggakan dan hasil usaha keras atlet, jurulatih serta semua pihak yang terlibat dalam pembangunan sukan menembak di Sabah,” katanya.

Jeffrey turut menjelaskan bahawa sebelum temasya bermula, pasukan sebenarnya meletakkan sasaran utama untuk memburu pingat emas menerusi acara pistol, namun kejayaan awal dalam acara air rifle memberikan suntikan semangat yang luar biasa kepada seluruh kem Sabah.

“Kami masih mempunyai beberapa acara yang akan dipertandingkan dan kejayaan ini pastinya meningkatkan keyakinan atlet untuk terus memberikan yang terbaik,” katanya.

Beliau turut berharap kejayaan dua emas tersebut akan menjadi pemangkin kepada perkembangan sukan menembak di Sabah, sekali gus menarik lebih ramai bakat muda untuk menceburi sukan berkenaan pada masa hadapan.

“Semoga kejayaan ini dapat membuka mata lebih ramai pihak mengenai potensi sukan menembak di Sabah dan membantu memperkukuhkan lagi program pembangunan atlet di peringkat akar umbi,” katanya.

Kejayaan tersebut turut membuktikan tahap persiapan rapi yang dilakukan oleh pasukan, selain menyerlahkan disiplin, fokus dan keyakinan tinggi para atlet ketika beraksi di pentas sukan terbesar negara itu. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Tiga didakwa miliki lebih 8kg racun mitragynine

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular