HomeSukanSUKMA XXII : Catherine ungguli Compound Wanita, sumbang emas buat Sabah

SUKMA XXII : Catherine ungguli Compound Wanita, sumbang emas buat Sabah

Read Time:1 Minute, 53 Second

SHAH ALAM : Atlet memanah Sabah, Catherine Looi Mei Qi Abdullah pagi tadi menghadiahkan pingat emas kepada kontinjen Sabah menerusi acara Compound Wanita pada hari pertama pertandingan di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor pada Isnin.

Catherine mempamerkan aksi cemerlang dalam Qualification Round 50 meter apabila mengumpul keseluruhan 683 mata untuk muncul sebagai pemanah terbaik acara tersebut sekali gus menghadiahkan emas buat Sabah.

Beliau memulakan saingan dengan catatan 336 mata sebelum meningkatkan prestasinya pada pusingan kedua dengan 347 mata, sekali gus memastikan kedudukan teratas menjadi miliknya.

Kejayaan itu memberikan permulaan yang cukup meyakinkan kepada kem memanah Sabah yang memulakan cabaran mereka pada temasya kali ini dengan langkah kanan.

Selain kejayaan Catherine, tiga lagi pemanah wanita Sabah turut menampilkan persembahan membanggakan dalam pusingan kelayakan masing-masing.

Raihahtul Amani Mohd Raafi mengumpul 643 mata menerusi catatan 328 dan 315 mata, manakala Deborah Umang Weslley mencatat 637 mata hasil kutipan 323 dan 314 mata.

Seorang lagi atlet Sabah, Syaza Amirah Saimon, merekodkan jumlah keseluruhan 536 mata selepas mencatat 275 dan 261 mata dalam dua pusingan yang dipertandingkan.

Pengurus pasukan memanah Sabah, Kartini Kamis, berkata semua atlet menunjukkan semangat yang tinggi untuk memulakan cabaran pada hari pertama pertandingan selepas menjalani latihan rasmi yang berjalan lancar sehari sebelumnya.

“Semua atlet bersemangat untuk memulakan cabaran hari ini. Latihan rasmi yang dijalankan semalam berjalan dengan baik dan kami bersedia menghadapi pertandingan,” katanya.

Menurut beliau, pasukan masih mempunyai sasaran untuk memburu satu lagi pingat dalam saingan sebelah petang selain berharap lebih ramai atlet Sabah mampu melangkah jauh dalam acara individu.

“Untuk sesi petang ini, sasaran kami adalah sekurang-kurangnya dua atlet Compound Wanita dan dua atlet Compound Lelaki layak ke peringkat separuh akhir Individual Elimination Round,” katanya.

Kartini turut optimis pasukan berpeluang menambah koleksi pingat emas pada hari berikutnya, khususnya menerusi acara berpasukan recurve.

“Untuk esok, kami menjangkakan sekurang-kurangnya satu lagi pingat emas menerusi acara Recurve Team dengan kehadiran dua atlet Program Podium Malaysia kelahiran Sabah yang mewakili pasukan recurve kali ini,” katanya.

Beliau percaya kejayaan awal yang diraih Catherine mampu menjadi suntikan semangat kepada seluruh kem memanah Sabah untuk terus memberikan persembahan terbaik dalam baki saingan sehingga 22 Ogos ini.

Sukan memanah SUKMA Selangor 2026 berlangsung selama enam hari dan masih menawarkan pelbagai acara yang berpotensi menyumbang pingat kepada kontinjen Sabah. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Sukan

SUKMA XXII : Sabah tempah tiket ke suku akhir futsal lelaki

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular