HomeUtamaAnthony Loke Tawarkan Peletakan Jawatan Menteri Pengangkutan Susulan Isu Tahanan Rumah Najib

Anthony Loke Tawarkan Peletakan Jawatan Menteri Pengangkutan Susulan Isu Tahanan Rumah Najib

Read Time:2 Minute, 23 Second

KUALA LUMPUR : Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengumumkan akan meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan sebagai reaksi parti terhadap keputusan membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah.

Keputusan itu dicapai selepas Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP bermesyuarat kira-kira tiga jam petang ini bagi membincangkan pendirian parti susulan pengampunan bersyarat terhadap Najib.

” Saya telah menawarkan diri saya untuk mengemukakan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan kepada Yang Berhormat Perdana Menteri.

“Ini keputusan bahawa saya akan mengemukakan peletakan jawatan. Saya telah katakan bahawa saya mengemukakan cadangan ini kepada mesyuarat CEC tadi dan telah pun dibincangkan dan kita membuat keputusan bahawa saya meletakkan jawatan sebagai reaksi parti terhadap apa yang telah pun berlaku,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan.

Loke berkata, surat peletakan jawatannya akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, katanya, peletakan jawatan itu hanya membabitkan dirinya dan tidak melibatkan menteri, timbalan menteri serta pemegang jawatan kerajaan lain daripada DAP.

Menurutnya, CEC memutuskan wakil DAP yang lain perlu kekal dalam kerajaan bagi mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kestabilan politik dan kedudukan kerajaan pimpinan Anwar.

“Kalau semua letak jawatan sekarang ini, mungkin kerajaan akan tumbang. Ini yang diinginkan oleh lawan kita. Kita tak nak memberikan peluru ini kepada pihak lawan.

“Kita tahu mereka akan cuba menggugat kestabilan politik negara dan kestabilan kerajaan pimpinan Yang Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya semua anggota Jemaah Menteri daripada DAP mengosongkan jawatan,” katanya.

Loke menegaskan keputusan itu merupakan jalan yang dipilih DAP untuk menyatakan pendiriannya terhadap isu berkenaan tanpa menyebabkan ketidakstabilan politik.

Katanya, walaupun wakil DAP lain turut bersedia melepaskan jawatan pada bila-bila masa, CEC memutuskan mereka kekal dalam kerajaan buat sementara waktu.

Dalam pada itu, Loke berkata DAP menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Namun, katanya, parti itu mempunyai pendirian tersendiri terhadap keputusan membenarkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan rumah dan menganggap perkembangan berkenaan sukar diterima oleh DAP serta sebahagian rakyat Malaysia.

Beliau turut mengulangi pendirian DAP berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang menurutnya menjadi antara isu utama diperjuangkan parti sejak sedekad lalu.

Pada masa sama, Loke memberi jaminan peletakan jawatannya tidak akan menjejaskan operasi Kementerian Pengangkutan atau projek yang sedang dilaksanakan.

“Kementerian akan berfungsi seperti biasa. Sudah tentu saya memerlukan sedikit masa sebab ada beberapa perkara yang masih belum selesai. Saya akan berbincang dengan Perdana Menteri.

“Perancangan yang telah dibuat, projek-projek yang telah dilaksanakan akan diteruskan. Kementerian tidak berhenti berfungsi apabila menteri letak jawatan,” katanya.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib yang membolehkannya menjalani baki hukuman secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.

Terdahulu hari ini, pemimpin tertinggi DAP berkumpul di ibu pejabat parti di Pudu bagi menghadiri mesyuarat khas CEC untuk menentukan pendirian dan tindakan susulan parti berhubung keputusan berkenaan.

RELATED ARTICLES
Utama

Jangan Campuri Urusan Politik Sabah, Sarawak – Masiung tegur PAS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular